Phoong Teruskan Momentum Berkempen Temui Rakyat

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Momentum berkempen menemui rakyat seolah-olah masih belum berakhir.

Hari ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang Phoong Jin Zhe dilihat melahirkan penghargaan kepada semua warga Luyang yang memberi mandat kepadanya untuk terus kekal berkhidmat di kerusi DUN tersebut.

Phoong dilihat melakukan pertemuan dengan penduduk Luyang yang berada di Foh Sang dan Bornion Centre.

Kehadiran ADUN dari Parti Tindakan Demokratik ini diterima baik oleh penduduk setempat dan ramai antara penduduk DUN Luyang memberi kata-kata semangat untuknya terus berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Phoong turut memberi jaminan untuk terus bekerja dan berkhidmat untuk rakyat di kawasan tersebut.

“Dengan pengalaman sebagai mantan Menteri Belia dan Sukan serta bekas setiausaha politik kepada mendiang Ahli Parlimen Sandakan Datuk Stephen Wong, saya percaya saya boleh memainkan peranan sebagai wakil rakyat pembangkang yang kuat bagi memastikan kerajaan melakukan tugas dengan sebaiknya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Phoong berkata, beliau tidak merasa kecewa mahupun berputus asa kerana pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi. Itu akan menjadi tempat perjuangan terakhir bagi berdepan dengan kerajaan pintu belakang yang ada di Malaysia.

Katanya, mereka harus fokus dan sentiasa bersedia dengan teruskan bekerja untuk rakyat.

Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) ini berkata, kerajaan Sabah yang ada sekarang dilihat tidak stabil disebabkan perbezaan pandangan antara parti-parti gabungan.

“Jika rakyat masih yakin dan percaya dengan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Pakatan Harapan, kita masih mempunyai harapan untuk menang dalam pilihan raya umum nanti.

“DAP sudah membuktikan kesetiaan parti ini terhadap rakan sekutu Warisan dalam dua pilihan raya di Sabah. DAP akan terus memperjuangkan hak Sabah. Kami akan tunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Shafie.

“DAP akan bersedia dan memainkan peranan yang penting dalam terus memperkenalkan parti ini di kawasan pedalaman Sabah seperti yang dilakukan Lim Kit Siang dan mendian Stephen Wong,” jelasnya.

Phoong berkata, anak muda harus melibatkan diri dalam politik bagi memastikan suara yang lebih besar dapat didengari dari kalangan anak muda.

Katanya, beliau sentiasa terbuka untuk menerima anak-anak muda menyertai DAP bagi membina sebuah Sabah baharu.