Phoong Mahu Pusat Aspirasi Belia Sabah Ditubuhkan

182
Phoong (duduk-tiga kiri) bersama pegawai kanan kementerian dan wakil-wakil persatuan belia.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kementerian Belia dan Sukan akan mewujudkan Pusat Aspirasi Belia Sabah (SYAC) sebagai langkah mendekati dan membantu belia mencapai aspirasi mereka.

Menteri Belia dan Sukan Phoon Jin Zhe berkata, langkah menubuhkan pusat itu dilihat mampu memupuk dan melahirkan golongan belia yang berjaya dalam pelbagai bidang.

Katanya, penubuhan SYAC itu juga akan membantu meningkatkan kemahiran dan menjadi pusat ‘inkubator’ untuk para belia.

“Kami juga mahukan institusi seperti Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC) di Sabah bagi melatih belia agar berjaya dalam bidang diceburi dan mengikut trend semasa.

“Saya percaya suatu hari nanti, kita mampu melahirkan ‘pencipta kandungan’ (content creator) yang membawa mesej positif untuk membantu membangunkan masyarakat Sabah,” katanya ketika menyampaikan ucaptama dalam Persidangan Majlis Perundingan Belia Negeri Sabah (MPBN), di sini pada Rabu.

Menerusi SYAC, beliau akan merapatkan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan seperti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco), Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun), Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta beberapa agensi lain.

Phoong berkata, beliau juga memperkenalkan penjenamaan semula program dibawah kementerian, iaitu daripada Program Keusahawanan Belia Sabah (YESS) kepada Program Aspirasi Keusahawanan Belia Sabah (YEAP). Program itu diharap dapat membantu belia memulakan perniagaan agar golongan belia mampu berdikari dengan geran ‘one-off’ yang diberikan.

Menurutnya, melalui skim keusahawanan sebelum ini, bantuan geran hanya diberi kepada usahawan belia yang sudah berniaga lebih daripada dua tahun.

Namun, dibawah penjenamaan semula ini, geran one-off akan diberikan kepada usahawan yang betul-betul memerlukan bantuan dan suntikan kewangan dari kerajaan bagi memulakan perniagaan.

“Saya percaya bantuan ini dapat meringankan beban belia yang ingin memualakan perniagaan kecil-kecilan untuk terus berkembang,” ujarnya.

Phoong berkata, kementerian itu juga dalam rangka menubuhkan Institusi Kepimpinan Belia Sabah, dimana kementerian akan berkolaborasi dengan Majlis Belia Sabah (MBS) dan organisasi belia lain untuk melatih belia menjadi pemimpin unggul dengan kemahiran kepimpinan A to Z.

Ini sebagai usaha mempersiapkan belia dengan kemahiran terkini dan dalam berdepan dengan had umur baharu iaitu 15 hingga 30 tahun. Institut ini akan bertindak sebagai pengkaji dan mentor kepada belia agar dihak-upayakan dengan kemahiran kepimpinan yang seiring dengan keperluan dunia tanpa sempadan.

Sementara itu, Presiden MBS Ahmad Farid Sainuri berkata, dalam berdepan had umur belia yang baharu, dua aspek perlu dititikberatkan iaitu kesediaan belia mempimpin persatuan belia pada umur bawah 30an serta kesediaan pengurusan penyediaan pemegang taruh bagi memberi ruang dan peluang untuk anak-anak Sabah menjadi rakan kongsi kepada kerajaan dalam usaha membangunkan negeri ini.

Dalam persidangan itu, sebanyak enam usul daripada Majlis Perundingan Belia Bahagian dibentangkan.