Phoong Ketuai Delegasi Lawatan Kerja Ke Semenanjung Malaysia

60

KOTA KINABALU: Menteri Belia dan Sukan Phoong Jin Zhe (gambar) akan mengetuai rombongan Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) mengadakan Lawatan Kerja ke Kuala Lumpur, Pahang dan Johor bermula 22 hingga 26 Ogos ini.

Lawatan kerja lima hari itu meliputi kunjungan ke Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, Sekolah Sukan Bukit Jalil, Sekolah Sukan Malaysia Pahang dan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail di Johor.

“Tujuan lawatan kerja ini adalah untuk membolehkan pihak KBSS dan MSN Sabah lebih memahami struktur dan fungsi jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan di peringkat Persekutuan.

“Sudah tentu lawatan ini akan mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama antara agensi-agensi kerajaan pusat dengan kerajaan negeri bagi melicinkan peranan Kerajaan Negeri dalam sektor pembangunan sukan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Rabu.

Beliau berkata, beliau telah melawat kesemua kemudahan sukan yang ada di Sabah serta mendapat taklimat daripada Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), pengendali kemudahan KL Sports City.

“Sekarang, saya akan turun padang untuk berjumpa sendiri dengan anak-anak muda dari Sabah, yang jauh dari keluarga mereka, yang belajar dan berlatih di Semenanjung Malaysia khususnya di Kuala Lumpur, Pahang dan Johor,” ujarnya.

“Pada lawatan kerja kali ini, saya berhasrat untuk bertemu dengan atlet pelajar yang sedang belajar di sekolah-sekolah sukan di Semenanjung Malaysia untuk mengetahui perkembangan akademik dan juga pencapaian sukan mereka.

“Di kesempatan itu nanti, saya juga akan meneliti bantuan yang boleh diberikan oleh kementerian saya kepada mereka jika terdapat kekurangan semasa mereka belajar dan berlatih di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Phoong berkata, sebagai Menteri Belia dan Sukan Sabah yang baharu dan bertanggungjawab, beliau perlu melihat dan meneliti struktur dan fungsi jabatan-jabatan kerajaan pusat yang berkaitan dengan kementeriannya.

“Ini penting dalam usaha kementerian ini untuk menjalin kerjasama di masa hadapan untuk pembangunan sukan secara holistik di Negeri Sabah.

“Satu pertemuan juga akan diadakan antara pihak saya dengan Menteri Belia dan Sukan Malaysia (KBS) Syed Saddiq Syed Abd Rahman dijadualkan berlangsung pada 23 Ogos (Jumaat) ini,” ujarnya.

Delegasi itu akan disertai oleh Pembantu Menteri KBSS Arunarnsin Taib, Pengerusi Lembaga Sukan Negeri Sabah (LSNS) Dr. K.H. Tan, Setiausaha Tetap KBSS Mohd Yusrie Abdullah, Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah Mohd Asneh Mohd Noor, Penolong Pengarah (Pengurusan Acara) MSN Sabah Valerie Wong, Penolong Pengarah (Sukan) MSN Sabah Heirwan Shah Masari, Ketua Penyelaras Sukan MSN Sabah Dg. Siti Anne Nooraini Abu Bakar serta Ketua Penyelaras Negeri MSN Sabah Mohd Rezwan Osman.