Phoong Dilantik Jawatan Menteri, Poon Sandang Portfolio Kesihatan

304
Ketua Menteri Datuk Shafie Apdal mesra dengan pemberita selepas sidang media di Kota Kinabalu pada Jumaat.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Papat Datuk Frankie Poon dilantik sebagai Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat manakala, jawatan yang disandangnya sebelum ini, iaitu Menteri Belia dan Sukan akan diisi oleh Adun Luyang Ginger Phoong Jin Zhe.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, upacara mengangkat sumpah bagi perlantikan itu akan diadakan di Istana Negeri pada Selasa.

PHOONG JIN ZHE @ GINGER

Beliau mengumumkan perlantikan itu dalam satu Sidang Media, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, Frankie sebelum ini memangku jawatan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat setelah penyandangnya Datuk Stephen Wong meninggal dunia akibat diserang sakit jantung pada 28 Mac lalu.

”Memandangkan Frankie selaku Timbalan Pengerusi DAP Sabah akan menggantikan mendiang Stephen selaku Pengerusi DAP Sabah maka, beliau dilantik memegang jawatan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat.

”Manakala, untuk jawatan Menteri Belia dan Sukan kita memerlukan seorang yang muda, sebab itu kita melantik Ginger Phoong yang merupakan Setiausaha Publisiti DAP Sabah.

FRANKIE POON

”Saya yakin kedua-dua mereka mempunyai keupayaan untuk menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya.

LOH EE ENG

Mohd Shafie berkata, perlantikan ini sudah dibincangkan dan perlantikan jawatan yang kosong itu perlu diisi dalam jangka masa yang cepat tapi ia tidak dilakukan semasa musim Pilihan Raya Kecil Parlimen Sandakan kerana ia perlu dibincangkan dahulu.

”Setelah perbincangan dilakukan dengan kepimpinan DAP Negeri dan Pusat, kita telah persetujui perlantikan itu,” ujarnya.

Untuk Adun dilantik pula, Bendahari DAP Sabah Loh Ee Eng dilantik sebagai Adun baharu.

Beliau juga akan mengangkat sumpah bersama kedua-dua menteri yang dilantik itu pada Selasa.

Mohd Shafie sekali lagi menyatakan bahawa perlantikan itu tidak melibatkan rombakan kabinet sebaliknya hanya mengisi kekosongan jawatan yang ada dalam Kabinet Negeri Sabah.

BERITA BERKAITAN: –

Teka Teki Menteri Kesihatan Baharu Dijawab Jumaat ini