PH Setuju Anwar – Shafie Bincang Soal Calon PM

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) memberi mandat sepenuhnya kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berbincang dengan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang dicalonkan sebagai Perdana Menteri.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Majlis Presiden itu menyatakan PH konsisten dengan pendirian asal menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri, namun perbincangan dengan Mohd. Shafie perlu untuk membuat kata putus.

“Pakatan Harapan komited dengan pendirian asal Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri, dan mesyuarat juga turut membincangkan cadangan pencalonan Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri.

“Majlis Presiden berpendirian semua usaha ke arah pengembalian mandat rakyat perlu dijalankan dan memerlukan sokongan semua pihak.

“Oleh yang demikian, Majlis Presiden memberikan mandat penuh kepada Anwar Ibrahim untuk meneruskan perbincangan dengan semua pihak termasuk Shafie Apdal bagi menyempurnakan pengembalian mandat tersebut,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Majlis Presiden PH yang bermesyuarat hari ini turut sebulat suara untuk menolak usul Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggugurkan Tan Sri Ariff Yusuf sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat, dan Nga Kor Ming sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Majlis Presiden PH konsisten dengan pendirian bahawa fokus Kerajaan Persekutuan dan negeri ialah untuk membantu rakyat pasca penularan wabak Covid-19.

“Justeru, kami berpandangan sekiranya berlaku pilihanraya umum tergempar sebelum tamat tempoh lima tahun, maka kerajaan negeri yang ditadbir PH sewajarnya diteruskan dan tidak dibubarkan,” kata kenyataan itu.