PH Sabah Mahu Laporan Akhir MA63 Didedahkan Kepada Umum

KOTA KINABALU: Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Sabah mahu agar laporan akhir Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) didedahkan kepada umum bagi membolehkan rakyat memahami kepentingan dan signifikasi MA63.

Demikian pendirian pemimpin PH dalam satu kenyataan bersama yang dibuat oleh Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Christina Liew; Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau; Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung dan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Lahirul Latigu.

Pemimpin PH Sabah ini berpendapat, kesilapan tafsiran sejarah dan fakta mengenai MA63 telah menjadi salah satu sebab mengapa pelaksanaan MA63 menjadi satu cabaran meskipun setelah 58 tahun pembentukan Malaysia.

Maka, sudah tiba masanya pihak kerajaan persekutuan perlu mengambil pendekatan yang bertanggungjawab dengan menyatakan fakta yang sebenarnya. Banyak kesilapan yang dilakukan dalam memenuhi hak-hak Sabah dan Sarawak selama ini.

Semasa pemerintahan kerajaan PH sebelum ini, sebanyak 17 daripada 21 perkara yang dibentangkan oleh kerajaan Sabah dan Sarawak menerusi mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet untuk mengkaji pelaksanaan MA63 telah dipersetujui bersama.

Masih berbaki empat perkara dalam perbincangan iaitu isu royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum; mineral minyak dan medan minyak; Akta Laut Wilayah 2012 [Akta 750] dan hak negeri ke atas pelantar benua.

Mereka juga dapat melihat ketelusan kerajaan persekutuan ketika itu dalam memenuhi hak-hak Sabah dan Sarawak. Disamping itu, komposisi jawatankuasa-jawatankuasa yang dibentuk juga diumumkan kepada orang ramai.

“Namun, perkara yang sama tidak boleh dilakukan oleh kerajaan persekutuan sekarang dan kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini.

“Orang ramai tidak dimaklumkan tentang kewujudan dan komposisi mana-mana jawatankuasa malah tidak ada penjelasan terperinci atau ketelusan mengenai usaha yang dilakukan untuk meneruskan pelaksanaan MA63.

“Sekarang, kerajaan ini mahu menguburkan laporan akhir MA63 di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA). Apa yang yang hendak disembunyikan? MA63 adalah perkara yang paling kerap kali dibincangkan secara terbuka di negara ini,” kata kenyataan tersebut.

Pemimpin PH ini juga melahirkan rasa kecewa dengan Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili yang berasal dari Sabah namun, tidak berusaha sepenuhnya dalam memastikan hak-hak Sabah dalam MA63 dikembalikan.

Pemimpin Sabah tahu tuntutan ini amat mustahak dan setiap pihak berkepentingan perlu memahami dan menyokongnya.

Jika kerajaan bersikap telus dalam proses pelaksanaan MA63 dan mendedahkan laporan akhir kepada umum, ini peluang yang baik untuk memberi tanggapan MA63 ini adalah isu kepentingan nasional dan bukan sekadar tuntutan rakyat Sabah dan Sarawak semata-mata.

Kejayaan untuk melaksana MA63 akan menjadi pemangkin untuk mendorong Malaysia maju kehadapan.