PH Johor Tumbang, Sultan Titah Tubuh Kerajaan Gabungan Baharu

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Istana Johor mengesahkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Johor bubar berikutan tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar daripada PH Isnin lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Istana Johor memaklumkan, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar telah menitahkan agar satu gabungan pentadbiran baharu dibentuk agar pembangunan negeri Johor berjalan lancar demi kesejahteraan rakyat.

Menurut kenyataan itu, Menteri Besar, Datuk Dr. Saharuddin Jamal bersama Pengerusi UMNO Johor, Datuk Ir. hasani Mohammad telah menghadap baginda semalam bagi memaklumkkan tentang penubuhan gabungan baharu yang diwakili beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mendapat majoriti mudah.

“Bagi mengesahkan sokongan majoriti tersebut, tuanku telah bertitah supaya diadakan satu temubual bersama setiap ADUN bagi mendengar sendiri sokongan yang diberikan.

“Sehubungan itu, satu sesi temubual bersama semua ADUN Johor telah diadakan pada 26 Februari, pukul 3 hingga 5 petang di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan Johor Bahru.

“Temubual tersebut telah dibuat di hadapan Ttuanku dan disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Johor dan Penasihat Undang-undang Negeri Johor.

“Setiap ADUN juga dikehendaki menandatangani surat akuan bersumpah bagi mengesahkan pendirian mereka sama ada menyokong parti PH atau gabungan baharu,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, setelah sesi temubual, tuanku berpuas hati bahawa gabungan baharu yang telah memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, apabila 28 ADUN memilih gabungan baharu berbanding 26 ADUN yang memilih PH.

“Oleh yang demikian,gabungan parti baharu berhak untuk memberikan cadangan nama calon Menteri Besar, sebelum susunan barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri yang baharu dilantik.

“Tuanku berharap agar pentadbiran Kerajaan Negeri Johor segera dibentuk bagi memastikan pembangunan negeri Johor segera dibentuk bagi memastikan pembangunan negeri berjalan dengan lancar demi kemajuan dan kesejahteraan hidup semua rakyat di negeri Johor Darul Takzim,” kata Istana Johor.