PH Buktikan Tidak Perlu Mou Untuk Lulus RUU Anti-Lompat Parti

AZIS JAMMAN

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini membuktikan bahawa Memorandum Persefahaman (MOU) tidak diperlukan untuk meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Anti-lompat Parti.

Ketua Wira Parti Warisan (Warisan) Datuk Mohd Azis Jamman berkata, DAP Sabah perlu merujuk kepada pemimpin-pemimpin mereka di Kuala Lumpur, sebelum cuba mengelirukan rakyat Sabah dan rakyat Malaysia.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi DAP Sabah, Frankie Poon yang memberi gambaran bahawa MOU adalah suatu keperluan bagi meluluskan RUU Anti-lompat Parti.

“DAP Sabah patut merujuk kepada bos-bos mereka di Kuala Lumpur (KL) sebelum cuba mengelirukan rakyat Sabah dan Malaysia.

“Baru-baru ini pada 24 Mac, Parlimen telah sebulat suara meluluskan usul kepada Perkara 119A. Undang-undang tersebut diluluskan sebulat suara kerana usul yang dibawa oleh kerajaan mendapat sokongan penuh daripada Dewan Rakyat, termasuk setiap satu Ahli-ahli Parlimen PH yang hadir.

“Perkara ini juga perkara umum dan mungkin Frankie yang bukan seorang Ahli Parlimen tidak sedar. Jadi beliau patut tanyalah Ahli-ahli Parlimen DAP yang ada di KL sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perkara 119A yang dirujuk oleh Mohd Azis dinamakan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022.

Ia merupakan pindaan Perlembagaan bagi mengecualikan nama Raja dan pasangan, Yang di-Pertua Negeri dan pasangan, bakal raja, waris ganti dan waris lain raja dan pasangan serta individu lain daripada disenaraikan secara automatik dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pada 24 Mac, usul tersebut telah disokong sebulat suara oleh kesemua 181 Ahli-ahli Parlimen yang hadir, termasuk Ahli-ahli Parlimen daripada PH.

“Perkara 119A telah dilulus sebulat suara walaupun ia bukan sebahagian daripada MOU antara UMNO dan PH.

“Ini bermaksud, PH boleh mengulangi kejadian ini dengan menyokong RUU Anti-lompat Parti, tanpa memasuki apa-apa MOU.

“Selain Perkara 119A, setiap satu usul yang lulus dalam Parlimen sejak zaman Merdeka sampai sekarang, tidak pernah mempunyai apa-apa MOU.

“Adakah DAP ingat rakyat bodoh untuk percaya dakyah kononnya MOU diperlukan untuk satu RUU Anti-lompat Parti ini,” tegasnya.

Menjelaskan pendirian Warisan, Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata, PH patut mencontohi pendirian teguh Warisan.

“Adakah Warisan akan menyokong RUU Anti-lompat Parti, sudah tentu. Warisan akan menyokong RUU Anti-lompat Parti tanpa perlu memasuki apa-apa MOU dengan UMNO, kerana ini mendatangkan baik kepada rakyat.”

“Bentangkanlah, supaya Warisan boleh menyokongnya. Selama ini, Warisan telah menyokong usul yang baik dan membantah usul yang kurang baik, tanpa diikat dengan apa-apa MOU.

“Usul mengembalikan status Sabah dan Sarawak kami sudah sokong. Tiada MOU tapi kami sokong.

“SOSMA dan Belanjawan 2022, kami pun membuat pendirian yang jelas tanpa diikat kepada apa-apa MOU.

“Warisan telah mempertahankan hak rakyat tanpa berkompromi pendirian kami atau menandatangani apa-apa MOU,” jelasnya.

Bekas Menteri Dalam Negeri itu menambah, sejak MOU dimeterai, manfaat-manfaat yang diwar-warkan oleh DAP belum nampak hasilnya, tetapi PH telah menerima akses kepada peruntukan dan wang kerajaan berjumlaj ratusan juta ringgit.

“DAP kata MOU ini banyak manfaat. Tapi betul atau tidak?”

“Adakah BN semakin lemah? Tidak.”

“Adakah suhu politik semakin reda? Tidak.”

“Adakah keadaan Covid-19 semakin baik? Tidak.”

“Adakah apa-apa reformasi terlaksana? Tidak.”

“Adakah RUU Anti-lompat parti dibentang? Tidak.”

“Tapi peruntukan dan wang sudah PH terima? Sudah.”

“PH sudah diberi akses kepada kira-kira RM166.7 juta dalam bentuk geran langsung dan RM178 juta dalam bentuk peruntukan projek selepas menandatangani MOU. “Selain MOU di peringkat Persekutuan, DAP juga membawa suatu lagi MOU di peringkat negeri Sabah bersama Bersatu dan GRS.”

“Kenapa ada pula satu lagi MOU di Sabah?”

“Di KL, DAP kata MOU bersama UMNO adalah untuk RUU Anti-lompat Parti.”

“Jadi di peringkat Sabah, MOU dengan Bersatu GRS juga untuk RUU Anti-lompat Parti di peringkat Persekutuan?”

“Atau sebab DAP dan PH mahukan dana Kerajaan?”

“Daripada terus berbohong, DAP dan PH patut meminta maaf dari pengikut-pengikut dan penyokong-penyokongnya.”

“DAP dan PH juga patut jelaskan bagaimana ratusan juta yang diterima itu telah dibelanjakan sejak MOU termeterai,” katanya.