PH Bertekad Mengembalikan Status Sabah Dan S’wak Berteraskan MA63

2774

ANTARA JANJI-JANJI PH TERHADAP SABAH IALAH: MENUBUHKAN JAWATANKUASA KHAS KABINET UNTUK SEGERA MENYEMAK DAN MELAKSANAKAN PERJANJIAN MALAYSIA 1963

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan bertekad untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak berteraskan Perjanjian Malaysia 1963.

Pengarah Manifesto dan Dasar Pakatan Harapan Sabah, Chan Foong Hin berkata, komiten Pakatan Harapan terhadap status Sabah dan Sarawak ini telah terbukti dengan pelancaran Manifesto Pakatan Harapan (PH) bertajuk “Membina Negara, Memenuhi Harapan” Khamis di Shah Alam, di mana salah satu Teras Manifesto tersebut diperuntukkan khusus terhadap janji-janji gabungan parti politik kebangsaan ini demi Sabah dan Sarawak.

Chan yang juga merupakan Setiausaha DAP Sabah merangkap ADUN N57 Sri Tanjong berulas, pendekatan Pakatan Harapan yang memasukkan Teras 4 Mengembalikan Status Sabah dan Sarawak Berteraskan Perjanjian Malaysia 1963 dalam manifesto kebangasaan, dan bukan setakat termaktub dalam Tawaran Baru Sabah, manifesto peringkat negeri sahaja, cukup menerangkan pendirian PH bahawa politik Sabah juga politik kebangsaan. Politik Sabah tidak harus dikecualikan dari pergolakan politik arus perdana kebangsaan.

“Hanya Pakatan Harapan yang mampu membela nasib Sabah dan Sarawak, melalui reformasi institusi kerajaan dan sistem pentadbiran, yang melibatkan bidang kuasa yang berada di tangan kerajaan pusat. Perubahan peringkat negeri sahaja tidak mampu mengembalikan status Sabah dan Sarawak.”

Chan Foong Hin, Tan Lee Fatt, Jimmy Wong. Phoong Jin Zhe and Stephen Wong.

Antara janji-janji Pakatan Harapan terhadap Sabah ialah: Menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk segera menyemak dan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963.

Pakatan Harapan akan menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet tersebut dalam tempoh seratus hari pertama sebaik sahaja PH mengambil alih kerajaan persekutuan. Jawatankuasa Khas Kabinet ini akan dianggotai oleh wakil-wakil daripada Semenanjung, Sabah dan Sarawak, yang mempunyai kepakaran dalam hal-hal berkaitan.

Jawatankuasa ini akan diarahkan memberi laporan terperinci kepada kerajaan dalam masa enam bulan daripada tarikh penubuhan untuk pelaksanaan segera.

Sebaik sahaja laporan dibentang dan diluluskan oleh Kabinet, Jawatankuasa ini juga bertanggungjawab dalam pemantauan perlaksanaan cadangan-cadangan laporan tersebut.

Antara tugas utama Jawatankuasa Khas ini ialah untuk mengkaji dan mencadangkan langkah-langkah pembetulan dalam hal-hal berikut:

• Status Perjanjian Malaysia 1963 dalam perundangan sekarang;
• Usaha meningkatkan kefahaman rakyat mengenai Perjanjian Malaysia 1963 melalui sistem Pendidikan kebangsaan;
• Perlaksanaan konsep federalisme untuk ketiga-tiga wilayah dalam Malaysia;
• Hak Sabah dan Sarawak terhadap hasil semulajadi negara serta hasil minyak dan gas;
• Perkara-perkara pentadbiran yang sewajarnya diturunkan untuk kuasa negeri; dan
• Jumlah peruntukan yang seharusnya menjadi hak Sabah dan Sarawak.

Bermula dari pembentukan Jawatan Kuasa Khas Kabinet tersebut, desentralisasi kuasa daripada kerajaan pusat ke Sabah dan Sarawak antara agenda penting pentadbiran baru PH. Sistem pentadbiran fiskal negara akan disentralisasikan secara berperingkat agar akhirnya sehingga 50 peratus daripada hasil cukai yang dikutip di Sabah dan Sarawak akan dibelanjakan di Sabah dan Sarawak itu sendiri.

Kerajaan Pakatan Harapan akan mengembalikan kuasa untuk membuat dasar-dasar berkaitan perdagangan dan komersil kepada Sabah dan Sarawak. Ini termasuklah dalam dasar penganglutan awam, dasar kabotaj, dasar langit terbuka dan dasar pelaburan.

Keutamaan akan diberikan kepada kerajaan Sabah dan Sarawak untuk kembali menguasai syarikat-syarikat milik kerajaan yang strategik, seperti syarikat air dan elektrik yang menjalankan perbekalan.

Kerajaan Pakatan Harapan juga akan memperkasa sistem perundangan unik seperti Mahkamah Anak Negeri Sabah dan Mahkamah Bumiputera Sarawak, serta untuk memperkemas pengurusan hak adat Pribumi.

Hak pemilikan tanah adat akan diperakui dan proses pendaftar hak pemilikan akan diperkemas dengan segera. Konflik hak Orang Asal terhadap tanah mereka akan diselesaikan melalui penubuhan Tribunal Khas Tanah Adat yang dianggotai oleh mereka yang mempunyai kepakaran khusus dalam bidang ini.

PH berjanji juga untuk memastikan ekonomi Sabah dan Sarawak berkembang dengan lebih pesat demi kemakmuran hidup rakyat seluruhnya, dengan pembangunan infrastruktur asas seperti bekalan air dan elektrik, pembinaan jalan raya, mempercepatkan pembinaan lebuh raya Pan Borneo, mengkaji perkhidmatan keretapi Trans-Borneo, mebina lebih banyak sekolah dan pusat-pusat kesihatan. Satu per tiga dari peruntukan pembangunan kerajaan persekutuan akan dikhaskan untuk pembangunan Sabah dan Sarawak.

Akta Pembanguan Petroleum 1974 akan dikaji semula untuk menyemak monopoli Petronas terhadap hasil gas dan minyak negara, terutama dari Sabah dan Sarawak, supaya Sabah dan Sarawak menubuhkan syarikat minyak dan gas mereka sendiri, dan tidak menghadkan peranan mereka hanya sebagai kontraktor kepada Petronas sahaja.

Janji-janji lain termasuk mencipta lebih banyak peluang pekerjaan bergaji tinggi untuk anak-anak Sabah dan Sarawak, menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai model masyarakat harmoni, memperbaiki kualiti pendidikan dan khidmat kesihatan, membela nasib penduduk luar bandar dan kawasan pedalaman, mempertahankan kedaulatan dan keselamatan Sabah dan, memulangkan dan menjamin hak tanah adat Sabah dan Sarawak.