PGA Laksana Penerbangan Ihsan Hantar Pulang Anggota Sakit

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran melakukan penerbangan ihsan untuk menghantar pulang seorang anggota yang mengalami serangan angin ahmar pada usia muda ke kampung halaman.

Anggota itu Lans Koperal Mohamad Syazwan Othman, 28, yang disahkan lumpuh di sebelah kanan badan oleh doktor pakar di Hospital Duchess of Kent di sini, dihantar menggunakan pesawat King Air Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Lapangan Terbang Sandakan ke Lapangan Terbang Alor Setar, Kedah pada jam 9 pagi tadi.

Mohamad Syazwan sebelum ini bertugas sebagai anggota infantri di Batalion 20 PGA Beluran.

Pegawai Memerintah Batalion 20 PGA Beluran, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata beliau memohon kebenaran bagi melakukan penerbangan ihsan membawa pulang anggota terbabit ke kampungnya di Sungai Petani, Kedah bagi membolehkan Mohamad Syazwan dijaga keluarganya.

Katanya, penerbangan ihsan itu diluluskan segera oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

“Kita membuat penerbangan ihsan disebabkan kesukaran dihadapi anggota ini yang tidak mempunyai saudara mara di sini.

“Sebelum ini, kita mengurus penggiliran menjaga anggota ini terutama rakan serumahnya,” katanya pada majlis ringkas yang diadakan di Lapangan Terbang di sini.

Penerbangan ihsan itu diketuai juruterbang, Jimmy Roy dari Pasukan Gerakan Udara PDRM.

Turut mengiringi Mohamad Syazwan sehingga ke kampungnya adalah Pegawai Platun, Inspektor Mohd Nazrin Shah Zulhakim.

Mohd Nasaruddin berkata, sebanyak RM8,500 derma kilat daripada kalangan pegawai dan anggota Batalion 20 PGA Beluran, selain sumbangan pengurusan tertinggi berjaya dikumpul dan diserahkan kepada Mohamad Syazwan.

“Sumbangan ini diharapkan sedikit sebanyak dapat menampung segala perbelanjaan sepanjang proses penghantaran pulang serta meringankan beban keluarga anggota untuk membuat rawatan susulan dan sebagainya.

“Selaku Pegawai Pemerintah, saya amat bersimpati dengan keadaan yang dihadapi anggota ini dan akan sentiasa berusaha

untuk memastikan kebajikan anggota ini serta mana-mana pegawai dan anggota saya terjaga pada masa akan datang,” katanya.

Majlis terbabit yang dihadiri anggota dan pegawai Batalion 20 PGA Beluran diadakan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan bagi mengelak penularan Covid-19.

(Visited 1 times, 1 visits today)