Petugas, Calon Peperiksaan SPM, SVM Disaran Sentiasa Jaga Kesihatan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Dr Mistirine Radin menasihatkan semua petugas peperiksaan dan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) untuk sentiasa menjaga kesihatan sepanjang peperiksaan berlangsung.

Beliau berkata, dalam berdepan pandemik Covid-19 ini, penjagaan kesihatan amat penting bagi mengelakkan sekolah ditutup sepanjang peperiksaan berlangsung bermula hari ini sehingga 25 Mac ini.

Katanya, seramai 36,432 orang pelajar SPM dan 738 orang pelajar SVM menduduki peperiksaan pada kali ini. Ia turut membabitkan seramai 5305 petugas bagi menjaga peperiksaan SPM dan 88 petugas bagi SVM.

“Kepada calon-calon SPM dan SVM, selamat menduduki peperiksaan. Saya percaya mereka sudah cukup bersedia untuk peperiksaan ini dengan adanya bimbingan guru.

“Bagi Indeks prestasi utama (KPI) tidak diubah kerana sekolah-sekolah sudah berusaha. Sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau tanpa PKP, usaha pihak sekolah tetap sama yang mana, kita mahukan yang terbaik untuk pelajar,” katanya ketika ditemui semasa meninjau hari pertama peperiksaan SPM di SM La Salle, Tanjung Aru, di sini hari ini.

Mengenai persiapan untuk peperiksaan kali ini, sektor pentaksiran dan peperiksaan sejak awal tahun lagi sudah bersedia memberikan taklimat kepada petugas peperiksaan.

“Malah, saya sendiri turut memberi taklimat kepada pengetua-pengetua dan berhubung dengan 221 orang pengetua secara langsung.

“Untuk sanitasi dewan peperiksaan pula, petugas kebersihan sekolah akan melakukan pensanitasi setiap hari sebelum peperiksaan bermula,” ujarnya.

Ditanya mengenai bilangan pelajar yang menduduki peperiksaan SPM dan SVM di pusat kuarantin dan hospital, Mistirine berkata, pihaknya tidak mempunyai data tersebut. Data itu boleh diperoleh daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Turut hadir adalah Pengetua Cemerlang SM La Salle, Mary Macdalena A. Komuji.