Petronas Sumbang RM708,460 Laksana Program CSR

KOTA KINABALU: Petronas menyampaikan sumbangan berjumlah RM708,460 bagi pelaksanaan tiga program kolaborasi baharu berkaitan kesejahteraan masyarakat dan alam sekitar di Sabah.

Ketua Penasihat Kerajaan dan Kawal Selia Petronas Anuar Ismail menyampaikan sumbangan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong disaksikan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di Menara Kinabalu di sini semalam. Anuar diiringi Ketua Petronas Sabah dan Labuan Siti Ayu Abdul Wahab.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM500,000 diperuntukkan untuk membina menara tinjau dan jeti di Kampung Pantai Emas, Kota Belud, yang merupakan inisiatif Pejabat Daerah Kota Belud untuk menjana aktiviti pelancongan dan perikanan di kawasan itu.

Sebanyak RM108,460 lagi adalah untuk program Pasukan Respon Kecemasan Komuniti, yang merupakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Petronas dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi memperkasa anggota masyarakat dalam menghadapi sebarang bencana serta meningkatkan semangat kesukarelawanan.

Program itu yang akan bermula hujung bulan ini, akan melibatkan kira-kira 200 pemimpin akar umbi dan anggota masyarakat setempat di Tuaran, Papar, Beaufort dan Sipitang.

Sejumlah RM100,000 lagi adalah bagi Persidangan Antarabangsa Perubahan Iklim 2021 yang akan berlangsung bulan depan anjuran Jabatan Perlindungan Alam Sekitar, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.

Ketiga-tiga program itu merupakan antara program CSR yang dipersetujui untuk dilaksanakan oleh Jawatankuasa Kerja Bersama Petronas-Sabah yang merupakan platform kolaborasi antara Petronas dan kerajaan negeri.