Petronas Paparkan Nilai Kemasyarakatan Dalam Filem Web Animasi Aidilfitri

KUALA LUMPUR:Petronas melancarkan filem web animasi penuh pertamanya pada 20 Mei lalu berjudul “Antara Dua Jendela” sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Tujuan di sebalik filem web ini adalah untuk memberi peringatan   bahawa tiada yang   bersendirian dalam   menghadapi situasi   terkini akibat pandemik Covid-19, di samping menyelami nilai-nilai kegembiraan yang sering terlepas daripada perhatian ramai.

Dengan mengekalkan tema perayaan Petronas tahun ini “Keluarga Unik Kami” filem web ini mengetengahkan hubungan sesama insan   yang disantuni menerusi   amalan kebaikan dan sikap saling bantu-membantu, yang merupakan aspek penting bagi setiap komuniti, terutama sekali dalam kalangan masyarakat dunia yang sedang menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu.

Filem web “Antara Dua Jendela” berlatarbelakangkan kawasan desa yang permai, di mana dua buah rumah kampung bernama Uda dan Dara digambarkan saling mencintai.

Tetapi pemiliknya, Pak Tam dan Mak Teh, masing-masing mempunyai sikap yang bertentangan dan langsung tidak boleh bertemu mata.

Lantaran itu, hubungan kejiranan antara Pak Tam dan Mak Teh semakin keruh tahun demi tahun,   terutama sekali apabila Hari Raya Aidilfitri  menjelma.

Ini memberi kesan kepada hubungan Uda dan Dara yang mulai tegang. Namun, segala-galanya berubah pada tahun ini dengan   ketiadaan amalan   balik kampung beramai-ramai dan adat kunjung-mengunjung sesama keluarga dan jiran tetangga akibat penularan Covid-19.

Situasi lebaran yang baharu ini telah mendorong Pak Tam dan Mak Teh untuk meraikan   Hari Raya bersama-sama serta melupakan segala   perbezaan antara mereka dan menyedari hikmah di sebalik cabaran pandemik.

Dengan ini, hubungan kasih sayang antara Uda dan Dara juga kembali bertaut.

Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Zahariah (Liza) Abdul Rahman berkata, aspirasi   yang disampaikan melalui “Antara Dua Jendela” adalah   untuk   membawa kebahagiaan kepada rakyat Malaysia tatkala berdepan dengan situasi yang mencabar ketika ini.

“Filem web ini mengingatkan bahawa kita sebenarnya tidak pernah bersendirian pada masa ini. Bahkan kita semua sedang mengharungi situasi yang sama.

“Adalah penting untuk kita melihat di sekeliling kita dan menghargai  mereka yang paling dekat dengan kita.

“Kami berharap agar filem web ini dapat menjadi sumber motivasi untuk kita terus cekal dalam menempuhi segala cabaran  serta   mencari sinar kegembiraan dalam   melayari kebiasaan baharu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini baru-baru ini.

Liza berkata, setelah hampir 46 tahun, keunikan masyarakat   majmuk di   Malaysia seringkali menjadi sumber inspirasi filem web perayaan Petronas.

“Bukan itu sahaja, solidariti yang menyatukan kita pada suasana yang sukar buat masa ini, adalah sifat keprihatinan dan keikhlasan dalam mengambil berat antara satu sama lain,” jelasnya.

Karya animasi penuh ini sebenarnya mengajak masyarakat keluar dari kepompong   kebiasaan.

Selain  memberikan   nafas baru dalam  teknik  penceritaan, filem web animasi raya  pada tahun ini juga telah mewujudkan peluang untuk pasukan Petronas berkolaborasi dengan bakat-bakat tempatan seperti pelukis, pelakon suara dan juga pemuzik.

“Hasilnya, kami berjaya menyajikan “Antara Dua Jendela” biar pun kami perlu bekerja secara berasingan.

“Bagi kami, kebiasaan baharu ini bukanlah penghalang. Malah ia menjadi pemangkin bagi penghasilan filem web perayaan kami,” ujarnya.

Filem web ini boleh ditonton melalui saluran YouTube dan laman Facebook rasmi Petronas.

Versi komersial berdurasi 90 saat akan ditayangkan di TV bermula 20 Mei hingga 14 Jun.