Peter: Penyerahan Bantuan Tidak Pernah Terhenti, Diteruskan Di Kota Marudu

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA MARUDU: Bermula dari Tenom, Keningau, Tambunan hingga ke Papar, kini misi bantuan kebajikan kerajaan negeri diteruskan ke daerah Kota Marudu.

Misi menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan itu disampaikan secara berperingkat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini.

Penyerahan bantuan yang diketuai Menteri Pembangunan Infrastruktur merangkap  Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Peter Anthony itu dilihat membantu meringkan bebanan golongan yang terjejas akibat pelaksanaan PKP ini.

Beliau berkata, misi bantuan kebajikan ini akan terus digerakkan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada semua golongan yang memerlukan.

“Bantuan ini kita akan salurkan secara berperingkat dan saya ingin maklumkan kepada penduduk kampung supaya jangan susah hati kerana kerajaan negeri amat prihatin dalam menyalurkan bantuan tanpa mengira bulu atau warna kulit.

“Jika berlaku kelewatan pengagihan bantuan diharap anda akan bersabar kerana petugas jentera Warisan dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) serta ketua kampung sedang bertungkus-lumus menghantar semua bantuan ini.

“Saya percaya pemberian bantuan makanan ini dapat disalurkan kepada semua golongan yang memerlukan secara berperingkat,” katanya selepas Program Penyerahan Bantuan kepada Jawatankuasa daerah Kota Marudu, di sini semalam.

Menurutnya, sekiranya ada kemusykilan, orang ramai boleh bertanya ke pusat jawatankuasa di peringkat daerah sama ada ke Pejabat Daerah mahupun pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing-masing.

Dalam pada itu, bagi daerah Kota Marudu, beliau meluluskan untuk menjadikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek 2 dijadikan Pusat Kuarantin di daerah ini.

Oleh itu, beliau meluluskan pemasangan paip dan keperluan asas untuk ditempatkan di sekolah berkenaan dengan segera dibawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

Peter berkata, kemudahan asas itu diharap dapat memudahkan individu yang ditempatkan di pusat kuarantin di daerah berkenaan.

Tambahnya, dalam menjayakan proses agihan bantuan itu, beliau juga telah menyumbangkan wang kebajikan kepada petugas-petugas di kawasan Kota Marudu bagi melancarkan proses penghantaran bantuan.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada semua sukarelawan Warisan yang bertungkus-lumus membantu kerajaan menjayakan usaha membantu penyaluran bantuan ini.

Katanya, beliau tahu sejak dari awal pelaksanaan PKP lagi, sukarelawan berkerja siang dan malam bagi membantu kerajaan  membendung masalah ini.

“Di peringkat negeri, kita mengambil maklum dan ketika ini kita telah menghulurkan RM20,000 untuk menjaga kebajikan dan memenuhi keperluan makan-minum petugas-petugas sukarelawan,” jelasnya.