Peter: Pemimpin Berintegriti Maksud Tema Hari Kebangsaan

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
RANAU: Tema Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih sempena Hari Kebangsaan 2019 memberi pengertian untuk semua pemimpin agar berintegriti dalam menunaikan amanah rakyat.

Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony berkata, pemimpin yang amanah akan dapat memacu masa depan yang lebih baik dan menjadikan Malaysia negara contoh kepada dunia.

“Negara ini mesti dibangunkan dengan sifat yang amanah, dengan kecekapan dan ketekunan. Agar Malaysia menjadi sebuah negara yang disegani, negara yang diteladani.

“Dan yang paling utama, negara yang bebas rasuah, bersih daripada segala penyelewengan, bersih daripada ketirisan dan penyalahgunaan segala kepentingan sumber negara,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran program Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 Peringkat Negeri Sabah di Ranau hari ini.

Peter yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Program berkata, sambutan Hari Kebangsaan perlu dijiwai oleh setiap rakyat Malaysia bukannya sekadar sambutan semata-mata.

Menurut beliau, semua rakyat perlu berganding bahu membangunkan Malaysia agar mencapai status negara maju dan yang terbaik di Asia.

“Bulan Ogos setiap tahun adalah bulan bererti bagi rakyat Sabah dan Malaysia secara keseluruhannya, ia merupakan bulan kita meraikan kemerdekaan tanahair kita, bulan di mana kita mengingati dan mengenang kembali perjalanan yang ditempuhi oleh pendiri bangsa dan yang paling utama adalah bulan di mana kita membuktikan tahap kecintaan kita terhadap tanah air,” katanya.

Sementara itu, sempena pelancaran tersebut yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, semua rakyat yang hadir turut diberikan sayur kubis sebagai mempromosi daerah Ranau.

Semua yang hadir turut berpeluang memuaskan selera masing-masing dengan menjamu selera pelbagai jenis buah-buahan terutama durian yang ditanam sendiri oleh penduduk di daerah itu.