Peter Mahu Saman Sabah Kini2 Kerana Fitnah

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk peter Anthony akan mengambil tindakan undang-undang terhadap portal sabahkini2.com kerana fitnah yang dilaporkan kononnya beliau telah melantik lima kontraktor kroni untuk mendapatkan projek bernilai RM1.5 bilion tanpa tender.

Beliau berkata, kerajaan Sabah sekarang sentiasa terbuka kepada kritikan, namun itu bukan lesen untuk mana-mana pihak menabur fitnah justeru beliau tidak akan teragak-agak untuk menyaman pemilik portal berkenaan.

Jumaat lalu, portal berkenaan melaporkan kononnya Peter bersama Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Ir. Richard Jomiji Kinsil telah menyerahkan projek bernilai RM1.5 bilion itu kepada kroni mereka.

“Kita akan buat laporan polis dan saman mereka  kerana ini adalah tidak betul oleh kerana kontrak ini tidak baharu, kontrak ini adalah kontrak yang diberikan terdahulu kepada Syarikat Kekal Mewah selama 30 tahun oleh kerajaan sebelum ini.

“Secara peribadi saya sudah mengarahkan peguam saya untuk menghantar saman kepada protal pembangkang sabahkini2.com yang berpangkalan di Rusia,” katanya.

Mengulas tentang masalah penyelenggaraan jalan di beberapa daerah, Peter berkata, Syarikat Kekal Mewah telah menerima kontrak berkenaan daripada kerajaan terdahulu untuk tempoh 30 tahun, tetapi kualiti kerja mereka amat mendukacitakan.

Sehubungan itu katanya, dalam mesyuarat Kabinet telah dicadangkan agar kontraktor bumiputera lain diberikan peluang asalkan kualiti kerja mereka bermutu tinggi bukannya seperti yang dilakukan Syarikat Kekal Mewah.

“Saya selaku menteri yang bertanggungjawab untuk memantau pelaksanaan atau kualiti kerja tersebut, saya telah pergi ke beberapa daerah, semua daerah dan saya telah memanggil beberapa pihak bagi mengetahui keberkesanan kualiti kerja mereka ini.

“Tetapi apabila hasil daripada lawatan kita ke daerah-daerah ini dan mendapati bahawa konsesi yang dilantik inj selama 15 tahun dan telah dtambah dilantik lagi 15 tahun berjumlah 30 tahun kontrak mereka, telah tidak menjalankan kerja-kerja tersebut dengan begitu berkualiti dan bertanggungjawab.

“Inilah yang berlaku sebenarnya, bukan montrak baharu, ini adalah kontrak lama yang diberikan kepada syarikat gergasi kontrak mereka telah diperbaharui oleh kerajaan lama tidak ada kena mengena dengan kerajaan sekarang,” tegas beliau.