Peter Lancar Pelan Transformasi Perkhidmatan Awam Kementerian

1068
Sidang akhbar selepas Majlis Amanat Menteri Pembangunan Infrastruktur hari ini.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Infrastruktur hari ini mengumumkan Pelan Transformasi Perkhidmatan Awam 2019 sebagai asas memacu Sabah ke arah pembangunan yang lebih baik dengan tawaran perkhidmatan yang berkualiti tinggi kepada rakyat.

Menterinya, Datuk Peter Anthony berkata, melalui pelan berkenaan, setiap penjawat awam mesti lebih kompeten dan mampu mencambah idea baharu agar dapat membantu kerajaan memodenkan Sabah ke arah lebih baik berbanding sebelum ini.

Tegas beliau, pelan tersebut direka khas kerana tiga faktor iaitu orientasi ekonomi Sabah sedang berubah dengan deras, kakitangan awam memerlukan anjakan paradigma sebagai nadi pembangunan negeri serta transformasi kementerian perlu supaya selaras dengan kemajuan sains, teknologi dan data.

“Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah adalah yang tertinggi di peringkat nasional bagi tahun 2017 iaitu sebanyak 8.2 peratus, ini adalah satu pencapaian yang besar dan membanggakan.

“Namun, jika kita ingin mengekalkan prestasi ini, kita mesti mempunyai kakitangan awam yang bermutu, mempunyai ilmu baharu serta mampu bersaing jika tidak, pertumbuhan yang pesat dan deras ini tidak akan dapat dilonjakkan ke tahap yang lebih baik, malah, mungkin akan menurun dan merosot,” katanya dalam Majlis Amanat Tahun Baharu Menteri Pembangunan Infrastruktur hari ini.

Peter berkata, bertepatan dengan pelan berkenaan, kementerian turut melancarkan Dasar Pembangunan Inklusif Berasaskan Sains dan Teknologi untuk memastikan negeri ini mampu bersaing dalam semua sektor.

Dengan dasar itu jelasnya, pembangunan prasarana negeri akan lebih komprehensif dan menyeluruh iaitu tiada kawasan di Sabah yang akan terabai dan ketinggalan.

“Bekalan air bersih dan elektrik di luar bandar masih ketinggalan, ini mesti menjadi keutamaan kita dalam lima tahun akan datang, kita mahu pembangunan di Sabah inklusif, tiada sesiapa yang tercicir atau tertinggal.

“Kita mesti mencari penyelesaian kepada semua masalah prasarana kita dengan sains dan teknologi, kita tidak akan ke mana kalau membelakangkannya, alasan bahawa Sabah belum bersedia atau tiada kepakaran adalah alasan-alasan yang sudah tidak digunakan,” tegas beliau.

Menurut beliau, setiap perancangan kementerian mestilah bersifat mapan iaitu tidak mengutamakan keuntungan hari ini semata-mata tetapi akhirnya generasi akan datang yang menanggung akibatnya.