Peter: KPI Akan Pastikan Air Tidak Berhasil Kadar Dikurangkan

738
Kadar Air Tidak Berhasil (NRW) yang terlalu tinggi di Sabah dapat dikurangkan dalam tempoh 10 tahun akan datang – Peter Anthony

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Infrastruktur akan memastikan kadar Air Tidak Berhasil (NRW) yang terlalu tinggi di Sabah dapat dikurangkan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony berkata, untuk mencapai sasaran itu, warga kerja Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) harus bekerjasama dalam memastikan gerak kerja yang dirancang dapat dilaksana dengan berkesan.

Katanya, langkah mengurangkan kadar NRW itu antara lima keutamaan yang digariskan kementerian berkenaan.

PETER ANTHONY

Beliau berkata demikian dalam semasa Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JANS 2017, di sini pada Isnin. Teks ucapannya disampaikan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Abdul Muis Picho.

Pada masa ini, kadar NRW di Sabah adalah 52 peratus dan kerajaan merancang untuk mengurangkan kadar itu kepada 20 peratus.

Dalam pada itu, Peter juga menyeru semua warga kerja JANS supaya sama-sama melipatgandakan usaha memastikan sasaran dan kecemerlangan dapat dicapai bukan hanya di JANS tetapi juga sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian berkenaan.

“Prestasi kementerian dan jabatan dibawah kementerian ini termasuk Jabatan Air akan dipantau Unit Penyampaian Perkhidmatan (UPP), Jabatan Ketua Menteri.

“Oleh itu, penyampaian perkhidmatan semua jabatan dibawah kementerian ini perlu ditambahbaik dan langkah tidak popular seperti penstrukturan semula jabatan terpaksa dilakukan.

“Hanya prestasi yang baik dan penyampaian perkhidmatan yang cemerlang sahaja dapat mengembalikan semua kepercayaan rakyat kepada fungsi sebenar JANS.

“Maka, kita harus bekerja lebih keras agar stigma negatif yang mengaitkan jabatan ini seperti ‘buka paip, keluar duit bukan air’ dapat dihapuskan,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah JANS Amarjit Singh berkata, sasaran kutipan hasil JANS bernilai RM250juta yang ditetapkan dilihat akan mampu dicapai. Sebelum akhir tahun, JANS hanya perlu mengutip sebanyak RM8juta bagi mencapai sasaran ditetapkan.

Dalam majls itu, seramai 39 orang pegawai dan kakitangan JANS menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.