Peter Jelajah Beberapa Daerah Pantau Projek Infrastruktur Rakyat

222
Peter meneruskan kerjanya dengan turun padang untuk melihat sendiri pembangunan projek infrastruktur rakyat.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
RANAU: Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony memulakan lawatan kerja dua hari bermula hari ini menjelajah beberapa daerah seluruh negeri dari Kota Kinabalu ke Tawau untuk meninjau perkembangan projek-projek infrastruktur yang sedang dijalankan.

Peter berkata, sepanjang jelajah tersebut, beliau akan turut mendapatkan input daripada wakil rakyat dan pemimpin masyarakat di setiap persinggahannya bagi mengetahui sendiri permasalahan rakyat.

Katanya, beliau turut melihat kawasan pembinaan empat jajaran baharu Lebuhraya Pan Borneo Sabah iaitu Ranau-Telupid, Telupid-Beluran, Beluran-Sandakan dan Sandakan-Tawau.

“Saya mahu mendapatkan maklumat tambahan mana-mana projek yang kita angkat untuk dilaksanakan tahun depan sudah tentu banyak projek Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) melibatkan permintaan penduduk tempatan.

“Seperti juga jajaran baharu lebuh raya itu saya mahu pastikan Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam keadaan terbaik untuk melaksanakannya,” katanya kepada pemberita selepas bermesyuarat di Pejabat JKR Ranau hari ini.

Dalam jelajah tersebut, beliau bersama kakitangan kementeriannya singgah di Ranau, Telupid, Beluran, Lahad Datu dan Tawau.

Peter melihat pembinaan cerun di jalan Ranau yang sedang dalam pembinaan.

Sementara itu, mengulas kunjungannya di JKR Ranau, Peter berkata, antara yang dibangkitkan beliau dalam mesyuarat ialah keutamaan menyiapkan baik pulih cerun-cerun bukit yang selalu berlaku tanah runtuh.

“Ada beberapa cerun yang belum siap tetapi itu tidak dapat dielakkan, saya berpuas hati dengan kerja-kerja pembinaan dan pasti akan disiapkan mengikut jadual,” katanya.

Selain itu, beliau turut meminta JKR mempercepat pembinaan jalan menuju ke Sekolah Kebangsaan Badukan yang rosak teruk untuk memudahkan penduduk kampung yang menggunakannya.

“Saya telah arahkan JKR siapkan cepat jalan itu kerana setiap hari digunakan untuk ke sekolah.

“Kita mahu penduduk merasa selesa menggunakan kemudahan jalan raya di situ,” katanya.