Peter Akan Ambil Tindakan Undang Terhadap Individu Yang Sebar Fitnah

1004

Oleh SURAIDAH ROSLAN
SANDAKAN: Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Datuk Peter Hii Chang Lik (gambar) tidak akan teragak-agak untuk memfailkan saman terhadap individu yang menyebarkan fitnah mengenai dirinya.

Beliau berkata, tindakan itu akan diambil melalui peguamnya bagi menjaga haknya serta menyedarkan pihak tertentu supaya tidak sewenang-wenangnya membuat tuduhan palsu dan menfitnah orang lain.

Katanya, beliau elah membuat laporan polis terhadap Pemuda Umno yang membuat tuduhan palsu dan cuba menjatuhkan reputasi serta nama baiknya sebagai Presiden MPS.

Peter berkata, laporan polis yang dibuat olehnya pada 22 Februari lepas adalah untuk meminta pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengambil tindakan dan menjalankan siasatan terhadap laporan dibuat oleh Pemuda Umno yang berbaur fitnah.

“Tuduhan palsu itu adalah cubaan menjatuhkan imej saya sebagai Presiden MPS, imej Majlis Perbandaran dan juga kerajaan.

“Kandungan kertas laporan polis yang dibuat Pemuda Umno itu tular di media sosial terutamanya melalui aplikasi whatsapp telah menjejaskan reputasi saya selaku Presiden MPS dan Majlis Perbandaran Sandakan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Selasa.

Peter berkata, kenyataan yang dibuat Pemuda Umno itu adalah tuduhan palsu, tidak benar dan fitnah.

Katanya, laporan polis yang dibuat olehnya itu juga adalah untuk menjaga dan memulihkan semula reputasinya sebagai Presiden MPS dan Majlis Perbandaran Sandakan.

BERITA BERKAITAN: –

Presiden MPS Nafi Dakwaan Dilemparkan Pemuda Umno