Pesuruhjaya Polis: Klip Video Mangsa Tebusan Dihantar Penculik

968
Omar Mammah, Ketua Polis Sabah, tengah, bersama pegawai kanan Polis Kontinjen Sabah yang lain semasa sidang media berkenaan.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Pihak polis mengesahkan klip video yang menunjukkan seorang lelaki warga Indonesia menangis merayu supaya diselamatkan adalah mangsa tebusan yang diculik kumpulan Abu Sayyaf di perairan Pulau Bodgaya Semporna pada 11 September tahun lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah ketika mengesahkan perkara itu menyatakan lelaki berkenaan adalah Samsul Sangunim seperti disahkan oleh pihak berkuasa Filipina.

Beliau berkata video itu dihantar oleh penculik kepada pemilik bot nelayan untuk menuntut wang tebusan bagi pembebasan mangsa.

Sebelum ini penculik juga menuntut wang tebusan berjumlah RM4 juta bagi membebaskan Samsul.

Dalam pada itu, Omar juga tidak menolak kemungkinan dalang disebalik kes penculikan yang berlaku pada tahun lalu berada dalam senarai 18 orang lelaki dikehendaki pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Katanya, berkemungkinan besar orang yang dikehendaki ESSCOM itu dalang dalam dua kes penculikan yang berlaku tahun lalu.

Beliau berkata, setakat ini mereka mendapat kerjasama baik daripada rakan pihak berkuasa di Filipina yang sentiasa menyalurkan maklumat tentang tindakan yang mereka lakukan bagi membantu mengesan suspek penculikan itu.

“Dalam masa yang sama, kita melalui pasukan petugas khas juga sentiasa melakukan pemantauan tentang perkembangan dan pergerakan kumpulan ini dan setakat ini, 18 orang yang diburu itu tidak dikesan di Sabah,” katanya ketika sidang media sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Sabah, di sini pada Rabu.

Mengenai perkembangan terkini kes penculikan, beliau berkata, masih belum ada sebarang perkembangan terkini mengenai kes penculikan yang berlaku di Pulau Bodgaya dan Pengasus Reef Kinabatangan pada tahun lalu.

Katanya, setakat ini daripada lima mangsa, empat mangsa masih berada dalam tahanan suspek di Filipina dan seorang daripada mangsa (warga Indonesia) berjaya membebaskan diri dan kembali ke pangkuan keluarga.

Menurutnya, selepas penculik meminta wang tebusan RM4 juta daripada keluarga atau majikan dalam kes penculikan pertama yang berlaku 11 September tahun lalu, tiada lagi sebarang perkembangan atau tuntutan dibuat mana-mana pihak.

Pada tahun lalu, dua kes penculikan dilaporkan berlaku di Sabah membabitkan lima mangsa.

Dalam insiden pertama yang berlaku pada 11 September, dua nelayan warga Indonesia berusia 30-an diculik dua lelaki bersenjata ketika menangkap ikan di perairan Pulau Bodgaya Semporna kira-kira 12.30 tengah malam.

Bagaimanapun, seorang daripada mereka yang dikenali sebagai Usman Yusuf, 35, berjaya membebaskan diri daripada suspek penculikan untuk wang tebusan (KFR) dan kembali bertemu keluarga .

Manila Bulletin melaporkan Usman berjaya melarikan diri daripada penculiknya di Sitip Tubig Bual, Barangay di perairan Sulu pada 6 Disember, sebelum diselamatkan sepasukan tentera.

Kes penculikan kedua berlaku pada 6 Disember lalu dimana, tiga kru nelayan dilaporkan diculik berhampiran perairan Pegasus Reef Kinabatangan.

Sehari sebelum penculikan itu dilaporkan, berlaku serangan oleh empat lelaki bersenjata api ke atas bot tunda yang membawa 12 kru terdiri daripada dua warga Malaysia dan selebihnya warga Indonesia di perairan Pengasus Reef.