Pesta Kubis Perlu Dimasukkan Dalam Kalendar Pelancongan Sabah

KUNDASANG: Pesta Kubis, pesta tahunan berusia lebih dua dekad, yang bertujuan mempromosi sayuran tanah tinggi khususnya kubis sebagai tanaman utama di sini, perlu dimasukkan dalam kalendar pelancongan Sabah.

Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony berkata sudah tiba masanya pesta itu yang dianjurkan sejak 1997 untuk menghargai sumbangan petani dalam meningkatkan produk mereka, diangkat dengan lebih meluas untuk menarik ramai pelancong ke negeri ini.

“Banyak permintaan khususnya penduduk di sini agar pesta ini dimasukkan dalam kalendar pelancongan Sabah. Oleh itu saya akan menyuarakan hasrat ini kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew.

“Setelah dimasukkan dalam kalendar pelancongan Sabah, ia bukan sahaja dapat mempromosikan tempat ini kepada pelancong, malah akan meningkatkan ekonomi penduduk di daerah ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Kubis 2019, di sini, hari ini.

Kundasang merupakan kawasan yang popular sebagai pengusaha sayuran tanah tinggi di Sabah dan satu daripada sayuran yang tidak asing lagi di kawasan berkenaan ialah kubis.

Sementara itu, mengulas mengenai masalah air di Kundasang, beliau berkata sebuah loji sedang dalam pembinaan di kawasan berkenaan dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun lagi.

“Saya meminta penduduk di sini segera berdaftar dengan Jabatan Air untuk penyambungan paip ke rumah masing-masing. Saya tahu ramai penduduk masih belum berdaftar dengan Jabatan Air kerana mereka mendapatkan bekalan air graviti, namun ia akan menjadi masalah ketika musim kemarau kerana sumber air berkenaan akan kering,” katanya.