Pengarah Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari berkata saringan itu penting memandangkan seorang daripada peserta wacana fatwa berkenaan merupakan salah seorang daripada dua kes positif COVID-19 yang di kesan di pulau bebas cukai itu semalam.
Menurutnya, dua kes positif COVID-19 berkenaan merupakan antara individu yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, pada 28 Feb hingga 1 Mac lalu.
“Saya memohon kerjasama kepada seluruh masyarakat Labuan yang telah hadir ke program anjuran Pejabat Mufti dan Perbadanan Labuan berkenaan untuk melakukan saringan kesihatan di Klinik Kesihatan Membedai bermula 8 pagi hingga 3 petang ini, dan jika perlu, saringan akan disambung sehingga esok.
Kementerian Kesihatan Malaysia dalam kenyataannya semalam memasukkan Labuan sebagai antara negeri)/wilayah persekutuan yang kini ada merekodkan kes COVID-19.
Sabah yang merupakan negeri terdekat Labuan mencatatkan 15 kes, manakala negara jiran terdekat Brunei sebanyak 25 kes sehingga semalam.