Peserta Unduk Ngadau Lapor Polis Dakwa Dicabul Pemimpin Politik

KOTA KINABALU: Kontroversi tercetus dalam pertandingan Unduk Ngadau tahun ini selepas tular seorang peserta membuat laporan polis pada 21 Mei lalu mendakwa dicabul oleh penganjur program yang juga pemimpin politik.

Laporan polis itu kini menjadi perbualan netizen dengan rata-ratanya mendakwa pemimpin tersebut daripada komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, siasatan sedang dijalankan namun tidak mendedahkan maklumat lanjut.

“Saya telah mengarahkan pegawai melakukan siasatan dan menyerahkan laporan kepada Pejabat Pendakwa Raya selepas dilengkapkan.

“Jika berlaku pencabulan sudah tentu kami akan siasat dan mengambil tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, keterangan daripada pelbagai pihak aoan turut diambil.

Hazani turut mengesahkan laporan polis itu masih ada dan siasatan akan tetap dijalankan walaupun telah ditarik balik.

Mengulas lanjut katanya, individu yang menarik balik laporan polis akan turut disiasat.

“Kenapa laporan ditarik balik, adakah sebab itu laporan palsu atau insiden itu tidak pernah berlaku?,” katanya.

Dalam laporan polis itu, pengadu mendakwa diraba di paha, tangan, belakang dan leher oleh suspek di dalam kenderaan suspek pada kira-kira pukul 6 petang, 19 Mei lalu.

“Selesai penggambaran program Unduk Ngadau, saya telah dibawa oleh Philip Among menaiki sebuah kereta miliknya untuk makan malam.

“Semasa di kereta dalam perjalan untuk ke tempat kedai makan sekitar bandar Kota Kinabalu, Philip Among telah meraba bahagian kedua-dua paha dan belakang badan, leher, tangan saya.

“Saya terus menepis perbuatannya tetapi Philip Among masih juga meraba-raba badan saya,” kata pengadu di dalam laporan berkenaan.

Menurut pengadu, selepas makan malam, suspek telah membawanya ke sebuah pejabat milik suspek dan turut meneruskan perbuatannya meraba serta meramas paha pengadu.