Peserta MESEJ Pertanian Bakal Terima Rumah Dan Bekalan Elektrik – Ewon

78

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PENAMPANG: Peserta-peserta Program Mini Estet Sejahtera (MESEJ) Pertanian di Penampang, Pitas dan Ranau bakal menerima kemudahan prasarana asas seperti rumah, bekalan air dan elektrik bermula tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick berkata, tiga MESEJ itu adalah MESEJ Timpangoh Laut Penampang, MESEJ Tukar Pitas dan MESEJ Mansalu Ranau yang ditanam dengan getah dan kelapa sawit.

Untuk itu, beliau akan melawat kesemua MESEJ itu pada bulan ini untuk melihat kesesuaian tapak seterusnya menentukan bilangan peserta dan rumah yang akan dibina.

“Hari ini KPLB Sabah bersama Pejabat Daerah Penampang, Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan beberapa jabatan lain yang terlibat dengan pembangunan MESEJ mengadakan lawatan ke MESEJ Timpangoh Laut untuk menentukan kesesuaian tapak bagi pembinaan rumah untuk para peserta MESEJ di sini.

“Ini merupakan satu daripada tiga perkampungan MESEJ termasuk MESEJ Tukar Pitas dan MESEJ Mansalu Ranau yang akan dibina rumah pada tahun ini.

“Saya berharap selepas pembinaan rumah itu siap kelak, mereka boleh menghuni seterusnya memperolehi sumber pendapatan di kawasan MESEJ sama ada yang ditanam dengan getah atau kelapa sawit,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Lawatan ke MESEJ Timpangoh Laut, Penampang, di sini pada Selasa.

Ewon, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian ini berharap pembinaan rumah dan penyediaan kemudahan asas lain untuk peserta MESEJ juga akan disiapkan tahun ini.

“Kita akan melawat kesemua perkampungan MESEJ itu pada bulan ini bagi memastikan proses perolehan atau pelantikan kontraktor yang akan membina rumah dan kemudahan asas ke kawasan MESEJ dapat dimuktamadkan selewat-lewatnya Ogos ini.

“Saya yakin pembinaan rumah untuk ketiga-tiga perkampungan MESEJ itu dapat disiapkan tahun ini kerana kita ada mekanisma sendiri untuk memastikannya siap, antaranya pembinaan 16 buah rumah di MESEJ Timpangoh ini akan dilaksanakan oleh beberapa kontraktor yang dilantik supaya dapat disiapkan dengan segera. Saya berharap rumah itu siap tahun ini supaya peserta boleh masuk awal tahun depan,” katanya.

Dari segi pemilihan peserta, Ewon berkata bagi MESEJ Timpangoh, satu jawatankuasa ditubuhkan di peringkat daerah Penampang untuk menilai dan menapis kelayakan peserta.

Katanya, memang ramai penduduk kampung yang tersenarai dalam e-kasih di Kampung Timpangoh dan kawasan berhampiran untuk dibantu. Namun, hanya 16 peserta sahaja dipilih dan jawatankuasa itu yang akan menilai dan menjalankan proses tapisan melalui temuduga untuk memastikan mereka yang betul-betul layak dan mahu berpindah ke kawasan MESEJ sahaja yang dipilih.

“Bilangan peserta itu juga berdasarkan kesesuaian kawasan MESEJ Timpangoh yang agak curam dan keluasan tanaman getah hanya meliputi kawasan seluas 70 hektar,” katanya.

Ewon berkata, setiap peserta dijangka menjana pendapatan minimum RM1,700 sebulan iaitu 20 hari bekerja berasaskan harga getah kentalan pada masa kini iaitu sekitar RM2.63 sen.

Beliau berkata, dengan sokongan dan kerjasama jabatan dan agensi kerajaan lain seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Haiwan dan Koperasi Pembangunan Desa (KPD), KPLB juga bercadang untuk memperkenalkan program aktiviti ekonomi tambahan di kawasan Mesej sebagai pendapatan tambahan mereka.

Turut hadir Adun Moyog Jenifer Lasimbang, Setiausaha Tetap KPLB Sabah Fredian Gan, Pegawai Daerah Penampang Henry Idol dan Pegawai Penguasa LIGS Penampang Julkifle Sahimin.

Ewon (empat kiri) bersama Jenifer (tiga kanan) berbincang mengenai pembinaan rumah peserta MESEJ Timpangoh Laut, Penampang.