Peserta Larian Maraton Mati Mengejut

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Peserta Borneo Marathon yang tiba-tiba jatuh pengsan sebelum menamatkan larian 10km ketika menyertai Borneo Marathon disahkan mati mengejut oleh pihak Hospital Queen Elizabeth.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 56 tahun difahamkan pengsan secara tiba-tiba di Jalan Stadium Likas ketika berada berhampiran garisan penamat Borneo Marathon.

Mangsa, Bitah Sabenting berasal dari Kota Belud menyertai larian Borneo Marathon yang bermula 4.30 pagi itu bersama keluarga bagi kategori 10km.

Bagaimanapun ketika dalam perjalanan kembali ke Stadium Likas berhampiran garisan penamat pada 7.45 pagi, mangsa tiba-tiba rebah dan pengsan di tepi Jalan Kompleks Sukan.

Pasukan perubatan Hospital Queen Elizabeth menjalankan pemeriksaan ke atas mangsa sebelum dibawa ke hospital

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth dan pada 8.58pagi, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Pemeriksaan ke atas tubuh mangsa tidak mendapati sebarang tanda-tanda unsur jenayah.

Kes disiasat sebagai kematian mengejut dan mangsa dibawa ke Jabatan Forensik untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Beliau berkata, siasatan kes itu masih diteruskan.