Peserta Dari Kenya, Maghribi Dominasi Larian LLPM 2019

66

LABUAN: Peserta dari Kenya dan Maghribi mendominasi kedudukan tiga teratas dalam Larian Ulang Tahun ke-20 LLPM yang julung kali diadakan di sini hari ini.

Bernama melaporkan pelari jarak jauh dari Kenya, John Muiruri Mburu, 28, menjuarai kategori lelaki terbuka selepas menamatkan larian pada masa 01:05:30 saat (s) manakala rakan senegaranya Kipchirchir Lel, 30, meraih tempat kedua dengan catatan masa 01:10:28s.

Younes Ammouta, 38, dari Maghribi pula mendapat tempat ketiga dengan rekod masa 01:12:16s.

Peserta dari Malaysia Fabian Osmond Daimon dan Safree Sabdin menamatkan perlumbaan selepas masing-masing meraih tempat keempat dan kelima.

Acara antarabangsa itu yang menawarkan hadiah keseluruhan lebih RM100,000 telah menarik penyertaan 1,200 peserta dari dalam dan luar negara termasuk Brunei, Filipina dan Algeria.

Bagi kategori wanita terbuka, doktor gigi dari Kota Kinabalu, Sabah Dr Madeliene See Lie Chie menjadi juara manakala Mailin Salungin Ripau dan Sinapilin Sarawi kedua-duanya dari Sabah, memenangi tempat kedua dan ketiga.

Tidak ketinggalan, kategori veteran lelaki dan wanita terbuka turut didominasi peserta dari Malaysia.

Perlumbaan itu bermula di Desa Tunas Hijau, Kampung Sungai Miri pada 6 pagi tadi dan melalui Jalan Bebuloh, Kampung Sungai Bedaun, Kampung Bukit Kalam, Layangan, Sungai Labu, Sungai Lada dan kembali ke Desa Tunas Hijau.

Acara itu dilepaskan oleh Pengerusi Eksekutif Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM) Datuk Seri Mohd Alias Abd Rahman, Pengarah Operasi LLPM Datin Seri Norsiah Abdullah, Pengurus Besar LLPM Ghani Paijan, Pengurus Kanan LLPM Azhar Othman, Pengurus Pusat Pelancongan Labuan (Lembaga Pelancongan Malaysia) Norhidayah Mohd Nor.

Peserta mengambil bahagian dalam dua acara larian iaitu 20 kilometer dan fun run sejauh lima kilometer.

Sementara itu, wartawan sambilan Bernama Kota Marudu, Benjohn Simbaku yang menyertai acara larian 5 km bertuah apabila memenangi hadiah utama cabutan bertuah iaitu sebuah motosikal Harley Davidson.