Pesara Perlu Terus Menyumbang Demi Pembangunan Negeri

157

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
TUARAN: Golongan pesara di nasihatkan agar tidak terus hidup pasif sebaliknya kekal menyumbang idea kepada pembangunan negeri Sabah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, mereka boleh terus menyumbang bakat, kemahiran dan pengalaman kepada negeri ini sama ada secara ilmiah atau kudrat dalam apa cara sekali pun.

Katanya, kerajaan juga tidak akan melupakan golongan pesara ini, kerana sebahagian mereka masih mempunyai semangat untuk terus menabur bakti kepada pemabngunan negeri.

“Apa yang penting adalah semangat seseorang terhadap sesuatu yang diminati. Ikutlah naluri hati, mudah-mudahan akan mencapai kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi.

“Saya berharap mereka yang diraikan akan sudi terus menyumbang bakat, kemahiran dan pengalaman kepada negara khususnya negeri Sabah,” katanya ketika berucap dalam Majlis Jasamu Dikenang Zon Daerah Tuaran hari ini.

Menurut Madius, adalah menjadi satu kerugian besar kepada negara sekiranya bakat dan pengalaman yang telah ditimba setelah berkhidmat bertahun-tahun dipersia-siakan begitu sahaja.

Sementara itu, Madius berkata, golongan pesara perlu sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat untuk mendapat kesihatan yang baik dan mengurangkan beban kewangan terhadap rawatan kesihatan.

Katanya, disebabkan kurangnya kesedaran menjaga kesihatan, kerajaan turut menanggung perbelanjaan yang tinggi untuk pembelian ubat-ubatan terutama bagi rawatan kanser dan jantung.

“Saya difahamkan jumlah perbelanjaan kesihatan secara am di negeri ini pada tahun 2017 ialah RM5.17 juta. Jumlah ini telah meningkat ke RM5.27 juta pada tahun 2018.

“Daripada jenis perbelanjaan tersebut, rawatan untuk dialisis mencatatkan jumlah terbesar yang dibelanjakan iaitu sebanyak RM3.44 juta pada tahun 2017 dan meningkat ke RM3.50 juta pada tahun 2018,” katanya.

Tambahnya, golongan pesara juga perlu lebih berhemat dalam berbelanja kerana bebanan kewangan sentiasa memberikan cabaran memandangkan mereka tidak lagi mendapat gaji penuh sebaliknya hanya 60 peratus daripada pendapatan terakhir.