Pesara Kerajaan Yang Uzur Terima Sumbangan Kerusi Roda

Fringco (tengah) menerima sumbangan kerusi roda dari David dan disaksikan oleh Kapitan James (kanan).

SANDAKAN:  Seorang pesara kerajaan yang uzur, Laimi Binti Tinggi telah menerima sumbangan sebuah kerusi roda yang didermakan oleh seorang ahli perniagaan di sini baru-baru ini.

Ketua Masyarakat Cina Elopura, Kapitan James Leong  dan Penyelia Unit Pemimpin Pembangunan Masyrakat (UPPM) DUN Elopura David Ong telah berganding tenaga untuk mendapatkan sumbangan kerusi roda tersebut setelah James dihubungi ahli keluarga Laimi.

Laimi yang berusia 68 tahun menghidap penyakit buah pinggang. Beliau telah dibenarkan balik rumah setelah menjalani rawatan di Duchess of Kent Hospital. Oleh kerana beliau mempunyai masalah mobiliti, ahli keluarganya telah memohon bantuan dari James.

“Setelah dihubungi anak Laimi, saya telah berbincang dengan David bagaimana untuk membantu beliau.  Mujurlah kami telah berjaya mendapat pemilik Syarikat Multiplus Computer untuk menderma sebuah kerusi roda baharu kepada Laimi,” kata James.

Kerusi roda tersebut telah diserahkan kepada anak Laimi iaitu Fringco Abdullah oleh David dan disaksikan James di Multiplus Computer awal minggu ini.

Fringco mengucapkan terima kasih kepada Kapitan James, Penyelia UPPM DUN Elopura David Ong dan Syarikat Multiplus Computer, atas usaha serta keprihatinan mereka mendapatkan kerusi roda untuk kegunaan ibunya.