Perwira Sabah Mahu Parti Warisan Sabah Lindungi Kebajikan Mereka

3761
Shafie Apdal menandatangani dokumen GPS sebelum diserahkan kepada Wil Kamsari, kiri. Peter Anthony kelihatan di sebelah kanan. 

Oleh WARTAWAN BORNEOTODAY
KOTA KINABALU: Gabungan Perwira Sabah (GPS) mahu Parti Warisan Sabah melindungi kebajikan perwira di negeri dan secara tidak langsung badan itu memberi sokongan kepada parti yang diketuai Shafie Apdal.

Pada satu mesyuarat pro-tem Sabtu, GPS membawa usul cadangan bagi penambahbaikan dan kebajikan perwira dimasukkan di dalam manifesto Warisan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Usul tersebut telah disampaikan kepada Shafie, presiden Parti Warisan Sabah bila beliau menyempurnakan mesyuarat pro-tem GPS di Tang Dynasty Bay Hotel, Sepanggar.

Turut hadir naib presiden Warisan, Peter Anthony merangkap presiden Persatuan KDM Malaysia.

Mesyuarat pagi tadi dihadiri seramai 50 orang bekas pegawai dan anggota pasukan keselamatan serta badan beruniform dari pelbagai daerah Sabah.

Lt Muda Maritim (B) Awil Kamsari telah dipilih sebulat suara sebagai presiden penaja GPS pada mesyuarat tersebut.

Tujuan GPS ditubuhkan adalah untuk memperkasakan, memartabatkan dan menjaga kebajikan ahli di samping sebagai wadah untuk memperjuangkan dan membela nasib perwira khususnya di negeri Sabah.