Peruntukan Untuk Sabah & Sarawak Mengecewakan – Shafie

KOTA KINABALU: Ketika peruntukan pembangunan kaum Cina, India dan Orang Asli mencecah ratusan juta, Sabah dan Sarawak hanya menerima peruntukan RM10 juta.

Ketidakadilan itu dibangkitkan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal dalam perbahasan Bajet 2022 pada Jumaat lalu.

Beliau berkata, dalam belanjawan kali ini, pembangunan kaum Sabah dan Sarawak hanya menerima RM10 juta manakala peruntukan kaum Cina RM200 juta, kaum India ialah RM145 juta dan Orang Asli adalah RM247 juta.

Agihan peruntukan itu sangat tidak adil. Malah, jika dilihat dari segi peruntukan pembangunan, Sabah dan Sarawak juga hanya menerima RM9.8 bilion, iaitu 3.04 peratus daripada keseluruhan nilai Bajet 2022 yang berjumlah RM322.5 bilion.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata, peruntukan pembangunan yang diberikan kepada Sabah sebanyak RM5.2bilion dan Sarawak RM4.6 billion.

Walau bagaimanapun, jika diliht pada tahun lalu, Sabah dan Sarawak menyumbang lebih kurang RM145 bilion melalui keuntungan hasil petroleum kepada kerajaan persekutuan. Ia merangkumi 45 peratus daripada jumlah Bajet 2022.

Sumbangan hasil itu cukup besar namun, peruntukan pembangunan diterima tidak signifikan kerana kedua-dua negeri ini memerlukan lebih banyak pembangunan.

Peruntukan yang tidak setimpal itu jelas menunjukkan rakyat di Sabah dan Sarawak disisihkan oleh kerajaan persekutuan.

“Saya berpendirian, untuk mencapai kemakmuran dalam negara ini, kerajaan perlu berlaku adil kepada semua negeri. Janji yang dibuat kepada Sabah dan Sarawak ketika penubuhan Malaysia pada 1963 mesti dikotakan untuk kebaikan bersama.

“Hanya dengan pembahagian kekayaan dan sumber yang adil dan saksama sahaja, yang boleh membolehkan kita hidup aman damai dan berdaya maju,” katanya.