Peruntukan RM6.5juta Naik Taraf Laluan KK-Kudat ByPass

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
KOTA BELUD: Kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) meluluskan peruntukan kira-kira RM6.5 juta bagi menaik taraf laluan Kota Kinabalu-Kudat Bypass (Lebak Moyoh-Kampung Sembirai) yang sering berlaku banjir.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor ketika meninjau kawasan itu berkata, langkah segera perlu diambil memandangkan jalan itu merupakan laluan utama bagi menghubungkan Kota Marudu, Kudat dan Pitas untuk ke Kota Kinabalu.

Beliau berkata, dalam tahun ini sahaja laluan tersebut sudah lima kali terjejas banjir. Sejak 2019 sehingga sekarang, laluan terbabit sudah 33 kali terjejas akibat banjir dan ia menyebabkan ribuan pengguna jalan raya terjejas.

“Saya dimaklumkan, pengguna jalan raya terpaksa menunggu seharian sebelum mereka boleh melalui jalan tersebut. Untuk itu, kita perlu mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah ini.

“Penyelesaian yang kita ambil adalah meninggikan paras jalan sepanjang 550 meter bermula dari bulatan Kota Belud sehingga ke Jambatan Sungai Gurong-Gurong dan beberapa meter menuju ke kawasan pekan,” katanya.

Menurutnya, sistem pengairan dan saliran juga akan dinaik taraf. Proses menaik taraf laluan itu akan dimulakan secepat mungkin.

Turut hadir meninjua kawasan itu adalah Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah Ir Ali Ahmad Hamid.