Peruntukan RM260 Juta Untuk Baik Pulih 67 Sekolah Daif Di Sabah

SIPITANG: Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah menyasarkan untuk membaik pulih dan membina semula 67 buah sekolah yang dikategorikan sebagai sekolah daif di Sabah pada tahun ini.

Menterinya Datuk Dr Yusof Yacob berkata proses tersebut melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM260 juta dan berharap ia dapat diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan. 

“Ini adalah keutamaan kementerian untuk menyelesaikan masalah sekolah daif yang ada beberapa kategori iaitu dari skala satu hingga tujuh.

“Kategori tujuh adalah paling teruk dan diisytiharkan tidak selamat untuk digunakan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Sara Hidup (BSH) di Dewan Serbaguna Sipitang, di sini hari ini.

Yusof berkata terdapat 1,300 buah sekolah rendah dan menengah di Sabah dan daripada jumlah itu 590 buah sekolah dikategorikan sebagai sekolah daif.

Beliau berkata pada tahun lepas, sebanyak RM100 juta diperuntukkan untuk membaik pulih dan menggantikan 24 buah bangunan sekolah daif di negeri ini.

Katanya, daripada 24 buah sekolah itu, tiga sedang dalam proses pembinaan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tiong Wido, Tambunan; SK Nibang, Pitas; SK Sungai-Sungai, Beluran, manakala selebihnya dalam proses untuk dilaksanakan.