Peruntukan RM237.61juta Terus Bangunkan Sektor Pelancongan Sabah

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Sektor Pelancongan yang merupakan salah satu sektor produktif utama Sabah terus menerima peruntukan yang agak besar dalam Belanjawan Sabah 2020.

Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Negeri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal mengumumkan peruntukan sejumlah RM237.61 juta bagi pembangunan sektor pelancongan dalam belanjawan berkenaan.

Daripada jumlah itu, sejumlah RM130.9juta diperuntukkan kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar sementara RM206.71juta diagihkan kepada jabatan dan agensi lain termasuk Jabatan Perhutanan dan Pusat Biodiversiti Sabah yang turut menyumbang kepada pembangunan sektor pelancongan.

Kerajaan melalui kementerian itu juga menyasarkan bahan koleksi Warisan Khazanah Negeri ditingkatkan daripada 70,000 unit tahun ini kepada 77,0000 unit pada 2020.

Dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam flora dan fauna di Sabah, sejumlah RM62.9juta diperuntukkan kepada Jabatan Hidupan Liar, Taman-Taman Sabah, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar melalui Belanjawan Sabah 2020.

Manakala, sejumlah RM116.7juta diperuntukkan kepada Jabatan Perhutanan bagi mengurus sektor kecil perhutanan secara lestari.

Sabah juga menyasarkan untuk memperluas Kawasan Perlindungan Marin kepada 13 peratus menjelang 2023 dengan menilai kesesuaian menjadikan Teluk Darvel, Lahad Datu dan perairan Pulau Mantanani, Kota Belud sebagai kawasan perlindungan marin yang baharu.

Dalam perlindungan hidupan liar seperti gajah pygmy borneo, usaha pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dilaksana dan diperketatkan bagi memastikan insiden pembunuhan gajah tidak lagi berulang.

Katanya, kerajaan juga komited dalam melindungi dan memulihara khazanah alam sekitar demi kesejahteraan rakyat. Atas sebab itu, kerajaan akan memendekkan tempoh memproses Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) daripada 40 hari pada tahun ini kepada 35 hari pada 2020.