Peruntukan RM140.2 Juta Untuk Tingkatkan Bekalan Air Di Labuan

890

LABUAN: Labuan telah memperuntukkan RM140.2 juta untuk meningkatkan sistem bekalan air di pulau ini, kata Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli.

Beliau berkata sejumlah besar peruntukan akan digunakan untuk menggantikan paip-paip lama dan meluaskan rangkaian paip dari Jalan Mohd Salleh ke Kiansam dengan kos RM100 juta.

“Projek penggantian ini adalah untuk menggandakan kepanjangan paip sedia ada dari 14 kilometer ke 28 kilometer dan dijadual dimulakan tahun hadapan,” katanya kepada pemberita selepas diberi taklimat oleh Pengarah Jabatan Bekalan Air (JBA) Labuan Alvin Michael Lo di bangunan JBA di sini hari ini (Rabu).

Rozman berkata untuk meningkatkan bekalan air dari tanah besar, Loji Rawatan Air Lawa Gadong di Beaufort akan ditingkatkan dengan kos RM14.2 juta. Projek ini dijangka dilaksanakan pada 2020.

“Jabatan juga akan membina sistem takungan air (ORS) tahun hadapan melibatkan peruntukan RM6 juta untuk memastikan kita ada bekalan air yang mencukupi pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata RM6 juta lagi akan digunakan untuk membina sebuah takungan air di Kampung Lajau bagi menampung permintaan yang meningkat di kawasan sekitarnya.

“Memandangkan kerajaan sedang menghadapi ketirisan pendapatan, jabatan akan melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan isu air tidak berhasil di pulau ini. Sejumlah RM14 juta diperuntukkan untuk menyelesaikan isu lama ini,” katanya.

Pada majlis itu, Rozman turut diberi taklimat mengenai cadangan pengkorporatan JBA Labuan yang mana sekiranya berjaya, akan menjadikannya agensi pertama di negara ini mengendalikan perkhidmatan air dan kumbahan.

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli akan melantik seorang perunding untuk melakukan usaha dalam melaksanakan pengkorporatan sebelum isu itu dibawa ke Kabinet, katanya.

Rozman juga diberi taklimat mengenai sesi libat urus yang diadakan bulan lepas mengenai cadangan kenaikan tarif air sebanyak 15.9 peratus.