Peruntukan Kepada Sekolah Tidak Harus Dijadikan Isu – Shafie

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KIMANIS: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal tidak melihat pengumuman peruntukan bagi menaik taraf sebuah sekolah di sini harus dijadikan isu.

Beliau, yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata, sekiranya peruntukan sudah dibentangkan dalam belanjawan, penyalurannya tidak perlu dilewat-lewatkan hanya kerana ada pilihan raya.

“Bukan kita mahu menyalahguna kuasa tapi, kita tahu peruntukan itu memang sudah tersedia dan kita sudah pun kenal pasti dimana tempatnya.

“Misalnya, jika kita mahu berikan peruntukan perubatan untuk beri suntikan kepada orang berpenyakit polio, tidakkan kita kena tunggu sehingga lepas pilihan raya….mati orang itu nanti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bersama Komuniti Nelayan di Kampung Brunei, Kimanis, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pengumuman peruntukan berjumlah RM50,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bongawan II oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi semalam yang disifatkan melanggar undang-undang pilihan raya.

Ditanya tentang kenyataan Mohamaddin yang mempersoalkan kenapa semasa UMNO boleh umum peruntukan sebegitu, kenapa Warisan tidak boleh umum, Mohd Shafie berkata, ia bukan persoalan apa yang boleh dan tidak.

“Kita bukan mahu membuat perbandingan. Ini tentang hak orang yang seharusnya menerima peruntukan itu. Ia bukan soal integriti atau apa-apa sebab orang sudah minta.

“Bayangkan jika orang sakit kena tunggu ubat sehingga lepas pilihan raya. Tidakkan kena tunggu orang sampai sakit parah? Kita kena kawal dulu, bendung dulu.

“Saya ingat itu bukan perkara yang harus menjadi isu,” ujarnya.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak mendakwa pengumuman berkenaan dikatakan melanggar undang-undang pilihan raya.

Najib berkata, tiada keperluan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis lagi kerana Menteri Pakatan Harapan (PH) terang-terangan mengaku melanggar undang-undang pilihan raya dengan alasan ‘UMNO dulu buat, oleh itu, kita juga buat’.