Peruntukan Kecemasan RM150juta Diluluskan Baiki Jalan Rosak

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
PENAMPANG: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor meluluskan peruntukan RM150juta bagi membaik pulih 41 jalan rosak akibat hujan lebat berterusan dua minggu lepas di Sabah.

Beliau berkata, anggaran kos pembaikan kesemua jalan terjejas sekitar RM150juta.

Katanya, kerajaan negeri juga akan memohon bantuan dana daripada kerajaan persekutuan bagi membaiki kemudahan infrastruktur yang rosak yang berada dibawah tanggungjawab persekutuan.

Hajiji berkata, jabatan berkaitan telah diarahkan untuk mempercepatkan proses itu agar kerja-kerja membaik pulih dapat dimulakan secepat mungkin.

“Kita perlu memperbaiki segera kerosakan ini kerana ia mendatangkan kesukaran dan bahaya kepada pengguna jalan raya serta menjejaskan kehidupan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tanah runtuh diKM44.7 Jalan Penampang-Tambunan, di sini, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan laporan Jabatan Kerja Raya (JKR), 15 jalan rosak dan tidak boleh dilalui sepenuhnya manakala, 11 jalan terputus sebahagiannya dan 15 jalan rosak namun, masih boleh dilalui.

Katanya, daripada 41 jalan yang rosak, 37 merupakan jalan dibawah tanggungjawab negeri dan empat lagi dibawah tanggungjawab persekutuan.

Mengenai pembaikan jalan di KM44.7 Jalan Penampang-Tambunan itu, anggaran kosnya adalah RM5juta.

“Ketika ini kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan namun, satu lorong telah dibuka bagi membolehkan kenderaan kecil melaluinya,” ujarnya.

Selain jalan tersebut, jalan lain yang terputus dan tidak boleh dilalui sepenuhnya adalah Jalan Nangoh-Paitan-Kanibongan; Jalan Apin-Apin-Bundu Kampung Tiga; Jalan Montenior-Hologilat; Jalan Bilangau Darat; Jalan Liu Malubang; Jalan Telaga (jambatan runtuh), Jalan Suang Duyung; Jalan Mengkubau Laut, Jalan Pinuludan; Jalan Pinampadan dan Jalan Bungaliou-Longkou Lama-Timbok.

Hajiji berkata, peruntukan yang diperlukan bagi membaiki jalan-jalan ini amat besar namun, kerajaan akan memastikan pembaikan itu dapat dilakukan.

“Kita akan melakukan yang terbaik dan saya berharap rakyat faham dan bersabar kerana agensi berkaitan akan melaksana kerja-kerja menyambung semula kesemua jalan yang rosak ini,” ujarnya.

Tambahnya, selain jalan raya, hujan lebat yang turun sejak 11 Jan lalu telah mengakibatkan banjir dan tanah runtuh yang mengakibatkan kerosakan harta benda dan hasil tanaman yang dianggarkan bernilai RM130 juta.

Katanya, anggaran nilai kerosakan itu diperoleh daripada pejabat daerah dikawasan terjejas banjir yang dihantar kepada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Turut hadir adalah Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong dan Pengarah JKR Sabah Ir Ali Ahmad Hamid.