Peruntukan Bekalan Air Bersih Luar Bandar Disambut Baik – PISAAN

48

PITAS: Persatuan Rungus Pitas Sabah (PISAAN) menyambut baik usaha kerajaan memenuhi sasaran 99 peratus akses kepada air bersih in Sabah.

Presiden PISAAN Richard Mazagi berkata, pembentangan Belanjawan 2020 yang memperuntukkan kira-kira RM470 juta untuk Projek Bekalan Air Luar Bandar di Sabah dan Sarawak adalah berita baik bagi orang asal di pedalaman.

“Di daerah Pitas sendiri ada beberapa kampung yang belum mendapat akses kepada air bersih, dan yang lebih menyedihkan lagi banyak kawasan yang mempunyai pili, tetapi bekalan air yang terputus selama berbulan-bulan.

“Saya berharap daerah Pitas akan mendapat manfaat daripada belanjawan ini, bukan sahaja dari segi bekalan air tetapi juga keperluan asas lain yang menjadi harapan besar untuk dilaksanakan,” katanya.

Berikutan pengumuman peruntukan sebanyak RM1 bilion untuk pembangunan jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa di seluruh Malaysia, beliau menyambut baik tumpuan diberikan untuk Sabah dan Sarawak.

Katanya, jalan raya berturap sangat penting kepada penduduk di kampung-kampung kerana ia akan menyumbang kepada perkembangan ekonomi setempat.

Richard berkata, dengan sumber tanaman yang berkualiti tinggi dari kampung pastinya ekonomi akan berkembang dengan sendirinya dengan terbinanya jalan raya yang menghubungkan kampung-kampung dengan pekan yang terdekat.

“Dengan hasil tanaman yang banyak dari kampung-kampung, mereka akan mendapat peluang menambah pendapatan dengan menjualnya di pekan asalkan jalanraya dibina dengan sempurna.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengumuman geran sebanyak RM445 juta untuk pembiayaan, penyediaan premis perniagaan dan latihan keusahawanan bumiputera itu adalah satu peruntukan yang amat baik.

Di Sabah, Richard menegaskan bahawa usahawan bumiputera yang berniaga kecil-kecilan semakin bertambah, dan produk mereka berpotensi besar untuk pergi jauh.

“Produk makanan, kraftangan, kecantikan dan perkhidmatan yang diusahakan oleh peniaga bumiputera makin meningkat permintaannya namun sukar untuk diluaskan pasarannya kerana kekangan kawangan untuk meningkatkan mutu dan kekurangan pengalaman menghadapi pasaran yang lebih besar.

“Maka dengan geran dari kerajaan ini pastinya membantu usahawan tempatan kita,” ujarnya.