Perubahan Undang-Undang Perlu Bagi Bendung Ektremis Agama, Ketua Menteri

1072

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan membuat perubahan dalam undang-undang berkaitan agama di negeri ini bagi memastikan kumpulan puak pelampau tidak datang dan menyebarkan ajaran ektremis di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, ajaran agama yang diamalkan di negara ini berdasarkan Sunnah Wal Jamaah yang menerapkan konsep kesederhanaan dalam kehidupan beragama.

“Kita tidak mahu ajaran ektremis yang boleh menghancurkan kemajuan dan pembangunan dalam sesebuah negara berada di Sabah. Atas sebab itu, kita tidak mahu ada unsur-unsur pelampau agama dan perkauman berada di Sabah. Mana-mana negara di dunia juga menolak pelampau dalam agama,” katanya ketika menjawab persoalan Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (BERSATU-Membakut) mengenai keperluan memantau kumpulan ektremis agama agar tidak mengancam keselamatan di negeri ini.

Mohd Shafie selaku Presiden Parti Warisan Sabah (Warisam) berkata, penubuhan parti itu juga berasaskan kepelbagaian kaum dan agama.

Katanya, parti politik yang berasaskan perkauman dan agama tidak boleh bertahan lama kerana pada akhirnya ia akan membawa kepada kehancuran sekiranya berlaku pelanggaran tentang hak perkauman dan agama masing-masing.

Beliau, yang juga Adun Senallang ini berkata, sebagai Ketua Menteri untuk semua kaum, beliau mahu budaya menghormati kaum dan agama lain perlu diterapkan.

“Kita akan membantu semua kaum dan agama dengan semangat kekitaan dan perpaduan yang ada,” katanya.

Terdahulu Mohd Arifin menyatakan insiden yang berlaku di Christchurch New Zealand merupakan isyarat betapa bahaya ancaman ekstremis agama. Maka, kawalan keselamatan akidah bagi memantau puak ektremis dalam agama ini perlu dilakukan agar tidak membawa ancaman kepada keselamatan di Sabah.