Perubahan Besar Berlaku Di Labuan Dengan Adanya Jambatan Ke Sabah

6878
Gambar dari internet untuk hiasan sahaja. – Ihsan Arekkusu Quietus

LABUAN: Anggota Parlimen Labuan, Rozman Isli berkata, jambatan Labuan-Menumbok yang menghubungkan pulau bebas cukai ini dengan tanah besar Sabah dijadualkan siap pada 2023.

Beliau berkata projek itu akan dilaksanakan sebaik sahaja kajian kaedah pelaksanaan untuk projek jambatan itu selesai pada Disember tahun ini.

“Semasa persidangan Parlimen Rabu lepas, saya telah mengemukakan soalan berhubung perkembangan projek ini,” Bernama memetiknya sebagai berkata.

“Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Dr Loga Bala Mohan menjawab bahawa kementerian menerusi Perbadanan Labuan telah mengambil tindakan segera untuk melaksanakan kajian pelaksanaan cadangan jambatan itu,” katanya lagi.

ROZMAN ISLI

Mengulas lanjut, perubahan pada tujuan dan skop kajian kaedah pelaksanaan itu menggambarkan komitmen dan kesungguhan kerajaan untuk membina jambatan Labuan-Menumbok yang pastinya memberi manfaat ekonomi dan meningkatkan hubungan antara kedua-dua kawasan iaitu Labuan dan tanah besar Sabah.

Rozman yang juga Pengerusi Perbadanan Labuan berkata isu pembinaan jambatan yang sekian lama ini akhirnya terjawab apabila Perdana Menteri Najib Tun Razak melancarkan Pelan Tindakan Pembangunan Labuan 2030 serta menyerahkan surat lantikan perunding bagi kajian kaedah pelaksanaan pembinaan jambatan itu pada 18 Jan lepas.

Kementerian Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Labuan kini sedang dalam proses terakhir memuktamadkan tawaran dan pelantikan syarikat perunding dan setelah semakan siap, satu dokumen khusus iaitu ‘Request for Proposal’ (RPF) akan diberi kepada syarikat perunding dalam masa tiga bulan (dijangka selesai menjelang akhir Mac 2019).

Dokumen itu untuk tujuan proses penawaran dan lantikan pelabur atau kontraktor projek.

Rozman berkata pembinaan jambatan yang ditunggu-tunggu selama ini adalah pemangkin perubahan yang akan memberi kesan positif kepada ekonomi di seluruh rantau.

“Perubahan besar bukan sahaja berlaku di Labuan tetapi juga Kuala Penyu, Beaufort dan sekitar Menumbok,” katanya.

Semasa pembentangan Bajet 2018 tahun lepas, Najib mengumumkan bahawa kerajaan meluluskan dan memperuntukkan sejumlah RM14.31 juta untuk kajian mengenai cadangan pembinaan jambatan Labuan-Menumbok.

Kajian itu akan merangkumi reka bentuk awal kejuruteraan, analisis ekonomi dan kewangan, audit keselamatan jalan raya dan kerja lapangan pihak ketiga seperti penyiasatan tanah, kerja-kerja mengukur serta kajian pantai, trafik dan alam sekitar.