Pertumbuhan Semula Batu Karang Di Sabah Agak Baik – Ekologis Marin

279
Pasukan dari BMRI, TTS dan sukarelawan yang mengambil bahagian dalam Reef Survey di Tapak Selaman Midreef, Pulau Manukan pada Julai lalu.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Mula terlibat dalam penyelidikan dan aktiviti selaman skuba selepas dua tahun berlakunya Ribut Greg membuatkan Dr Zarinah Waheed merasa terpanggil untuk menyumbang khidmat membantu dalam kerja-kerja pemulihan semula terumbu dan batu karang di Taman Tunku Abdul Rahman (TARP).

ZARINAH WAHEED

Ekologis Terumbu Karang Institut Penyelidikan Marin Borneo (BMRI), Universiti Malaysia Sabah (UMS) ini berkata, beliau tidak sempat melihat keadaan terumbu karang sebelum ribut itu berlaku, tapi apa yang pasti banyak terumbu dan batu karang yang musnah apabila dilanda Ribut Greg pada 1996.

Atas sebab itu, apabila Taman-Taman Sabah (TTS) mengambil inisiatif memulakan kerja-kerja pemulihan semula terumbu karang di Tapak Selaman Midreef berhampiran Pulau Manukan beberapa tahun selepas Ribut Greg, beliau tidak melepaskan peluang untuk sama-sama terlibat dalam kerja-kerja pemulihan itu.

Usaha dilakukan dengan meletakkan tukun tiruan yang dipanggil ‘Reef balls’ di beberapa kawasan yang mengalami kemusnahan teruk di sekitar TARP termasuk tapak selaman Midreef. TARP meliputi lima pulau termasuk Pulau Manukan, Mamutik, Sapi, Gaya dan Sulug.

Kawasan penyelidikan untuk Reef Survey sekitar TARP.

“Apa yang boleh saya kongsikan di sini adalah pertumbuhan semula batu karang di tukun tiruan itu semakin baik. Reef balls itu membolehkan soft corals tumbuh dengan baik di atasnya.

“Ketika saya menjalankan penyelidikan enam bulan selepas Reef balls itu ditempatkan di tapak selaman berkenaan, tidak banyak batu karang yang tumbuh di tukun tiruan itu.

“Apabila saya datang semula ke Midreef pada 2017, saya dapat melihat pertumbuhan batu karang di tukun tiruan itu sangat baik. Saiz Reef balls juga semakin besar dan ia mula menjadi rumah kepada pelbagai spesis hidupan marin.

“Jika dahulu hanya cebisan batu karang sahaja yang tinggal di kawasan Midreef itu kini, pertumbuhan semula batu karang di tukun tiruan dilihat semakin baik,” katanya ketika ditemui semasa Program Sustaining Kota Kinabalu Marine Heritage, di sini baru-baru ini.

Program yang usahasama UMS dan Sutera Harbour Resort dengan tajaan Jebsen & Jessen Asia Pacific itu bermula pada tahun lalu dan akan diteruskan sehingga semua projek berjaya disiapkan.

Program berkenaan meliputi tiga komponen iaitu reef survey, plankton survey serta pembersihan pantai sekitar TARP.

Penyelidik menjalankan Reef Survey di sekitar TARP.

Zarina berkata, UMS juga sedang melihat kemungkinan untuk menulis tentang perkembangan pemulihan semula terumbu karang yang dimulakan oleh TTS di TARP itu.

Ketika ditanya tentang pertumbuhan semula terumbu karang di perairan Sabah secara keseluruhan, beliau berkata, pertumbuhan semula terumbu dan batu karang agak memberangsangkan kerana banyak kawasan yang dilihat ditumbuhi dengan batu karang bersaiz kecil (juvenile corals) di atas terumbu karang di perairan Sabah.

“Perkembangan ini jelas menunjukkan pertumbuhan semula memang berlaku. Kami mempunyai data mengenai ‘mass spawning’ iaitu pelbagai spesis batu karang mengeluarkan telur dan sperma ke permukaan air.

“Di sesetengah kawasan ada yang boleh melihat permukaan air dipenuhi dengan warna merah jambu yang menunjukkan banyak telur batu karang dibebaskan ke permukaan air.

“Keadaan ini boleh dilihat antara Mac hingga Mei dan April adalah kemuncak kepada pelepasan telur batu karang ini. Situasi permukaan air dipenuhi telur batu karang ini boleh dilihat di Pulau Mabul dan Pulau Langkayan, Sandakan,” jelasnya.

Menurutnya, berdasarkan pemantauan situasi itu boleh dilihat dengan jelas di Pantai Timur Sabah tapi, tidak di kawasan Pantai Barat.

Namun, ia bukan bermaksud pertumbuhan semula batu karang di Pantai Barat Sabah tidak berlaku. Tetapi, tiada pengusaha pusat selaman yang melihat perairan mereka berubah warna merah jambu ketika pelepasan telur batu karang berlaku.

Bagaimanapun, masih terdapat juvenile corals yang tumbuh di perairan Pantai Barat Sabah dan itu jelas memperlihatkan berlakunya pertumbuhan semula batu karang.

Sementara itu, sukarelawan Natasha Joibi, 31, yang menyertai Reef Survey buat kali pertama merasakan kerja-kerja penyelidikan marin itu agak meletihkan.

Katanya, pemantauan terumbu karang mungkin mudah bagi penyelidik kerana itu rutin mereka tetapi, bagi orang awam sepertinya menyelam sambil melakukan Reef Survey sangat berbeza berbanding selaman skuba rekreasi yang sering dilakukan.

“Disebabkan saya ditugaskan untuk mengambil gambar dan video hidupan marin boleh bergerak (inverterbrate), saya memberi fokus penuh kepada tugasan berkenaan. Di situ barulah saya dapat meneliti dan melihat kepelbagaian jenis ikan dan spesis hidupan marin di dasar laut.

“Berbanding dengan selaman skuba rekreasi, menyertai Reef Survey agak meletihkan kerana saya perlu menyempurnakan tugasan sambil mengawal keapungan dan memegang kamera.

“Saya juga kena sentiasa berwaspada agar tidak berada jauh daripada pita pengukur (transect) yang dipasang sepanjang 100 meter. Ia kerana itulah kawasan penyelidikan yang difokuskan oleh UMS dalam projek ini,” katanya.

Natasha menyifatkan keseluruhan pengalaman menyertai Reef Survey itu sesuatu yang amat bermakna kerana ia memberi pendedahan kepadanya bagaimana kerja-kerja konservasi marin dilakukan.

Baginya, jika orang awam ingin menyertai Reef Survey untuk tujuan penyelidikan, perkara paling penting adalah perlu latihan dan kawalan keapungan yang baik. Jika boleh ketahui bagaimana fungsi setiap peralatan sebelum turun ke dasar laut.