Pertumbuhan Ekonomi Melalap Akan Berkembang-Ketua Menteri

TENOM: Pembinaan Pekan Baru dan Stesen Keretapi Melalap dijangka akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi dan aktiviti pelancongan di pekan kecil yang terletak kira-kira 176km dari Kota Kinabalu ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, pembangunan stesen keretapi Melalap yang melibatkan laluan Melalap-Beaufort itu menelan belanja RM10juta dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun lagi.

“Pembinaan sudah bermula sekitar 200-300 meter yang melibatkan satu laluan (single lane). Kita telah mengenalpasti laluan keretapi yang digunakan pada 1906 dan landasan itu akan dinaiktaraf.

“Bagaimanapun terdapat penduduk kampung yang sudah bertapak berhampiran landasan berkenaan dan kita akan usahakan untuk memindahkan penduduk kampung yang terlibat. Terdapat kira-kira 30 buah rumah dari beberapa kampung yang akan terlibat dalam pemindahan ini.

“Saya akan meminta pegawai daerah supaya menyediakan perumahan untuk menempatkan penduduk terlibat sebelum merobohkan rumah mereka bagi penaiktarafan landasan keretapi itu.

“Kita harus memindahkan mereka terlebih dahulu baru bina landasan, tidak apa pembinaan stesen keretapi ini lambat sedikit,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Majlis Pelancaran Fasa Pertama Pekan Baru Melalap & Majlis Pembukaan Stesen Keretapi Melalap, di sini pada Ahad.

Namun, beliau berharap masyarakat di situ perlu memberi kerjasama agar kemudahan pengangkutan keretapi itu dapat disiapkan.

Katanya, gerabak yang lebih baik dan lebih pantas juga akan digunakan bagi menjimatkan masa perjalanan.

“Kita akan mulakan pembinaan (stesen) sekarang dan berharap ia dapat disiapkan dalam tempoh dua tahun dengan gerabak lebih baik…jangan nanti, kerbau lagi laju,” ujarnya.

Mohd Shafie berkata, apabila stesen itu siap nanti, penduduk sekitar Keningau, Tenom dan Pensiangan akan mendapat manfaat daripadanya. Penduduk di situ tidak lagi bergantung kepada pengangkutan seperti bas, teksi mahupun lori untuk menghantar produk pertanian ke luar kawasan.

Menurutnya, keretapi membolehkan masyarakat luar bandar mengangkut hasil keluaran pertanian dengan muatan yang tiada batasan.

“Jika menggunakan bas dan lori ada had muatan yang perlu dipatuhi tetapi, muatan keretapi tiada had, boleh memuatkan barangan seberat yang mungkin,” jelasnya.

Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata, seperti dijanjikan dalam Pilihan Raya Umum lalu, Warisan akan memaju dan membangunkan kawasan luar bandar termasuk membangunkan kemudahan keretapi di Melalap ini.

Mengenai pembangunan Pekan Baru Melalap yang berkeluasan 200 ekar, Mohd Shafie melihat pekan itu akan menempatkan pusat pentadbiran bersepadu.

Pekan baru itu akan menempatkan bangunan pentadbiran kerajaan termasuk sekolah, balai polis, masjid dan gereja dalam satu kawasan dan ia akan memudahkan penduduk setempat berurusan.

“Pusat ini akan mengatasi masalah berhubung dengan pendaftaran persekolahan anak-anak serta masalah untuk mendapatkan khidmat perubatan di hospital.

“Ini satu langkah yang kita suarakan dalam membawa pembangunan seimbang di kawasan luar bandar. Kita perlu memajukan kawasan-kawasan pedalaman dan pekan kecil bagi mengelakkan penghijarahan anak-anak muda ke tempat lain demi mencari nafkah hidup,” jelasnya.

Katanya, pembangunan seimbang akan dapat dijayakan dan direalisasikan apabila kawasan luar bandar turut dimajukan.

Mohd Shafie yang diiringi isterinya, Datin Seri Shuryani Shuaib kemudiannya melawat tapak Pasar Tani Melalap bersama rombongan menteri kabinet yang lain.

Turut hadir dalam lawatan itu adalah Menteri Pembangunan Infrastruktur merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melalap Datuk Peter Anthony, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick, Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob, Adun Kemabong Jamawi Jaafar dan Adun Liawan Rasinin Koutis.