Pertuduhan SPRM Terhadap Saya Bermotif Politik – Rozman Isli

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli menyifatkan pertuduhan kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atasnya di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini sebagai satu tindakan yang bermotif politik.

Beliau berkata, pertuduhan tersebut adalah satu rencana yang sudah dirancang lama bagi memberi tekanan terhadapnya untuk beralih sokongan kepada kerajaan.

Berikut adalah kenyataan penuh Ketua Whip Parti Warisan Sabah ini:-

Hari ini adalah tarikh ketiga saya dipanggil ke Mahkamah Kuala Lumpur untuk proses pertuduhan dan kali ini ianya tidak ditangguh lagi seperti dua tarikh sebelum ini.

Bagi saya ada dua objektif yang ingin dicapai oleh pihak yang mempunyai kepentingan politik iaitu:
1. Mereka mahu saya meninggalkan Warisan dan menyokong kerajaan (Perdana Menteri). Dalam masa satu tahun lapan bulan saya dipujuk dan ditawarkan jawatan dan dalam masa yang sama kes ini sengaja diadakan untuk menekan saya.

2. Pertuduhan ini juga disediakan supaya apabila saya tidak mahu mengalah dengan tekanan dan pujuk rayu mereka maka ianya akan diteruskan juga di mahkamah untuk menjatuhkan imej saya sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Saya akan hadapi cabaran ini dengan tabah. Berani kerana benar.

Kes ini juga akan member saya pengalaman sendiri dalam hal penyalahgunaan kuasa yang menjadi semakin teruk sekarang ini.

Antara perkara yang saya utamakan dalam perjuangan politik saya adalah menentang salah guna kuasa dan mendokong reformasi institusi supaya badan-badan penguat kuasa yang penting seperti SPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta badan legislatif dan badan kehakiman bebas daripada disalah guna oleh mereka yang berkuasa.

Semak dan Imbang adalah kunci kepada masa depan negara ini. Dalam kes ini saya dituduh menyalahguna kuasa tetapi saya tahu saya adalah mangsa kepada penyalahgunaan kuasa.

Saya cuma salah seorang daripada sembilan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) kepada Lembaga Pelabuhan Labuan dan saya bukan pengerusi dalam Lembaga berkenaan.

Diantara ALP adalah pegawai tertinggi kerajaan dari Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Wilayah Persekutuan yang faham dasar dan proses untuk kerajaan membuat perlantikan operator.

Semasa mesyuarat membuat keputusan, saya menyokong operator lama yang dimiliki oleh usahawan bumiputera tempatan itu untuk terus diberi peluang.

Mereka tidak terpilih sebab majoriti ALP memilih syarikat lain dari luar Labuan sebagai operator bar Pelabuhan Merdeka Labuan dan saya menghormati keputusan mesyuarat tersebut.

Saya yakin pihak Mahkamah dan para hakim akan berlaku adil dan saya akan membersihkan nama saya dan akan terus berjuang bersama siapa sahaja yang mempunyai misi yang sama untuk membasmi budaya penyalahgunaan kuasa dan rasuah di negara ini.

Bagi saya apapun yang terjadi mesti ada hikmah disebaliknya. Saya yakin episod ini akan membawa kebaikan kepada saya, keluarga saya dan juga kepada rakyat keseluruhan dan negara tercinta ini.