Pertubuhan Pelajar IPT Harap SOP Kerajaan Negeri Ditambah Baik

MOHD ZOFRIE

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Markas Siswa Siswi Islam Sabah (MARSIS) meminta kerajaan negeri menambah baik prosedur operasi standard (SOP) penghantaran pulang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) ke Sabah.

Presiden MARSIS, Mohd Zofrie Zulhilmi Ruslee berkata, ini berikutan banyak aduan diterima pihaknya daripada mahasiswa yang terbabit dalam program berkenaan.

“Dalam hal ini, kerajaan negeri boleh mengambil contoh mekanisma dan pendekatan yang dilakukan Sarawak dalam menerima pelajar IPT dari luar.

“Hasil perbincangan dan kajian bersama rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Sarawak, tiada aduan ketidakpuasan hati diterima daripada pelajar negeri berkenaan,” katanya.

Katanya, itu termasuk berkaitan pusat kuarantin dan fasiliti yang disediakan di negeri tersebut.

“Bukan hendak memperlekehkan usaha kerajaan negeri, tetapi SOP pelajar IPT pulang ke Sabah yang tidak selaras sehingga menimbulkan kebimbangan berkaitan risiko jangkitan penyakit dalam kalangan pelajar terbabit.

“Ini menunjukkan seolah-olah Sabah kurang bersedia menerima kedatangan pelajar terbabit kerana ada dalam kalangan mereka terpaksa menunggu terlalu lama sebelum dapat masuk ke pusat kuarantin,” katanya.

Pendapat MARSIS turut dipersetujui Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia Sabah (GAMIS).

ASISAL ABBAS

Presidennya, Mhd. Asisal Abbas berkata, berlaku beberapa kelemahan termasuk tiada aktiviti nyah kuman bagasi sepanjang proses penghantaran pelajar sehingga tiba di pusat kuarantin.

“Malah ada pelajar membuat aduan tidak menerima kit penjagaan diri seperti pelitup muka dan cecair sanitasi.

“Ini termasuk tiada gelang penanda diberikan kepada pelajar yang perlu menjalani tempoh kuarantin seperti yang diarahkan,” katanya.

Justeru, Mhd. Asisal berharap agar kerajaan negeri meneliti semula termasuk melakukan pemantauan rapi terhadap proses pengurusan pelajar IPT yang pulang ke Sabah selepas ini bagi memastikan wabak Covid-19 dapat diatasi.