Pertingkat Sekuriti Makanan Sabah, Bangunkan Tanaman Padi Sawah – ADUN Bongawan

KOTA KINABALU: Mengambil kira keadaan ekonomi dunia yang dijangka merundum pada tahun hadapan, negara ini perlu memberi fokus kepada peningkatan pengeluaran makanan terutama padi dan beras.

Malaysia tidak boleh terus bergantung penuh kepada import dari Vietnam. Malah, Vietnam pernah menghentikan sementara eksport beras mereka semasa berhadapan dengan krisis pandemik Covid-19.

Dr Daud Yusof (Warisan-Bongawan) berkata, sekiranya negara pengeksport makanan mengehadkan bekalan untuk melindungi sekuriti makanan negara mereka, ia akan menjadi satu kebimbangan yang sangat besar.

Jika dilihat eksport beras Vietnam bagi tempoh dua bulan pertama 2020 menokok 31.7 peratus kepada 928,798 tan berbanding tahun sebelumnya.

Sekiranya eksport terus meningkat pada tahap ini, Vietnam akan berdepan risiko kekurangan stok bagi penggunaan domestik,

Justeru, beliau mencadangkan agar Sabah melaksanakan semula projek tanaman padi sebagaimana yang pernah dilakukan pada tahun-tahun sebelum ini.

“Kita mempunyai tanah dan kawasan untuk tanaman padi yang luas dan kini telah terbiar. Maka, kawasan tersebut boleh digunakan semula bagi projek tanaman padi bagi membolehkan bekalan beras negara mencukupi.

“Kita harus mulakan langkah ini secepat mungkin kerana kita mempunyai keluasan tanah sawah yang luas khususnya di Kota Belud yang pernah dicadangkan untuk pelaksanaan projek Jelapang Padi Sabah. Namun, sehingga sekarang ia belum direalisasikan.

“Malah di Papar juga mempunyai potensi sama, begitu juga di kawasan saya sendiri iaitu Bongawan yang sebelumnya pernah menjadi antara kawasan aktif bagi penanaman padi.

“Di Bongawan, kita mempunyai keluasan kira-kira 300 hektar kawasan sawah padi yang berpotensi dibangunkan dan pada masa sama mampu menghasilkan sehingga ribuan tan metrik setahun,” katanya dalam ucapan perbahasan Belanjawan Negeri 2023 di DUN Sabah hari ini.

Mengulas lanjut, Daud berkata, semasa pentadbiran Kerajaan Warisan, beliau telah memastikan separuh daripada keluasan sawah padi itu dibangunkan dengan kerjasama beberapa pihak.

Justeru melalui peruntukan di bawah belanjawan bagi sektor pertanian, penternakan dan perikanan berjumlah RM501.54 juta, ia diharap dapat digunakan bagi memperkasa penanaman padi sawah untuk memenuhi permintaan domestik.

Itu akan membolehkan Sabah mengurangkan kebergantungan terhadap hasil eksport beras negara luar dan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan berlaku krisis makanan akibat ekonomi dunia yang merundum pada tahun depan.

“Kita harus segera membangunkan tanah sawah padi kita yang terbiar dan tidak diusahakan bagi projek penanaman semula padi,” ujarnya.