Pertikai Kelayakan Shafie Isu Anti Lompat Parti, Zulkarnain Mahdar Kebudak-budakan – Wira Warisan

KOTA KINABALU: Setiausaha Wira Parti Warisan (Warisan), Mohd Haslan Rahi mengecam tndakan Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (GKRM) yang mempertikaikan kelayakan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memberi pandangan tentang Undang-Undang Anti Lompat Parti.

Kenyataan Pengerusi GKRM, Datuk Zulkarnain Mahdar yang mempertikaikan kelayakan Presiden Warisan mengulas tentang undang-undang itu merupakan tindakan kurang bijak dan kebudak-budakan.

Haslan berkata, Warisan turut menjadi mangsa kepada pengkhianatan katak-katak politik yang menyaksikan kerajaan Persekutuan tumbang pada Februari 2020 dan seterusnya memaksa Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan pada 30 Julai 2020.

Beliau berkata, pembubaran DUN Sabah ketika itu susulan tindakan Tan Sri Musa Aman yang ingin kembali berkuasa.

Maka, alasan yang digunakan oleh Zulkarnain dengan mengungkit kembali keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional menarik sokongan terhadap Musa pada 2018 kerana dipujuk oleh Mohd Shafie adalah kenyataan tidak berasas.

Keputusan ADUN BN menyertai Warisan pada 2018 dilakukan atas dasar sukarela. Mereka datang sendiri ke rumah Mohd Shafie dan menyatakan kesediaan menyokong Warisan selepas mereka mejadi ‘tahanan’ dua hari di rumah Musa.

“Kenapa Zulkarnain tidak pertikaikan, tindakan 13 ADUN Warisan yang mengalihkan sokongan kepada Musa pada 30 Julai 2020 sehingga Mohd Shafie terpaksa membubarkan DUN Sabah.

“Keputusan Presiden Warisan membubarkan DUN adalah bagi memulangkan semula mandat kepada rakyat Sabah untuk memilih,” katanya.

Zulkarnain sepatutnya sedar dan tahu bahawa Mohd Shafie adalah Ahli Parlimen Semporna sejak 1995 dan juga ADUN bagi kawasan Senallang serta berpengalaman dalam kerajaan Persekutuan selama lebih 30 tahun.

Berdasarkan pengalaman itu, tidak salah untuk Ketua Pembangkang DUN Sabah itu berbicara soal Anti Lompat Parti yang sememangnya memberi kesan terhadap Warisan.

Mohd Haslan berkata, Zulkarnain mungkin sengaja mahu menarik perhatian agar senang untuk beliau ‘cari makan’ selepas lebih tiga tahun menyepi.

Beliau turut mengesa agar Zulkarnain berhati-hati dalam membuat kenyataan yang mengaitkan Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dalam kes Musa Aman yang kehilangan kuasa. Mahkamah telah memutuskan sebanyak dua kali bahawa keputusan TYT itu adalah tepat mengikut perlembagaan Sabah.

Rakyat Sabah tidak akan lupa kebiadapan Zulkarnain membuat laporan polis terhadap Tun Juhar kerana memecat Musa yang jelas telah kehilangan sokongan majoriti daripada ADUN Sabah selepas memgangkat sumpah pada bulan Mei 2018 yang lalu dan telah dibuktikan oleh mahkamah.

“Zulkarnain sepatutnya berlapang dada kerana akta Anti Lompat Parti ini turut disokong penuh oleh Mohd Shafie dan seluruh rakyat Malaysia,” jelasnya.