Pertembungan Air Pasang Besar Dan Limpahan Air Sungai Tawau Punca Banjir Kilat

kawasan yang turut dinaiki air termasuk Jalan Belia, kawasan Sabindo, Jalan Muhibbah serta Jalan Utara.
Kawasan yang turut dinaiki air termasuk Jalan Belia, kawasan Sabindo, Jalan Muhibbah serta Jalan Utara.

TAWAU – Pertembungan air pasang besar dan air Sungai Tawau yang melimpah berikutan hujan lebat berlarutan sejak pukul 3 petang Khamis mengakibatkan banjir kilat berlaku di Jalan Chong Thien Vun di sini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Kol Mulliadi Al Hamdi Ladin berkata kawasan itu dinaiki air dengan kedalaman kira-kira 0.35 meter.

Namun katanya sehingga 6.45 petang tadi semua jenis kenderaan masih boleh melalui laluan tersebut.

“Dan sejak pukul 4 lagi kerja-kerja pemantauan telah dan sedang dijalankan sehingga kini bagi memastikan keselamatan orang ramai dan pengguna jalan raya dan penduduk sekitar di pantau,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Tawau Faisal Ahmad, setakat ini pihaknya hanya menerima laporan kawasan Eastern Plaza telah dinaiki air serta terdapat pokok tumbang di Jalan Yamamoto dan Tanjung Batu.

“Pihak bomba sentiasa bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya ketika dihubungi.

Di samping itu, tinjauan Bernama mendapati kawasan yang turut dinaiki air termasuk Jalan Belia, kawasan Sabindo, Jalan Muhibbah serta Jalan Utara.