Pertanian Organik Beri Manfaat 863 Peserta

BELURAN: Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee merasmikan Majlis Pelancaran Program Pertanian Organik (Ternakan) di Kampung Batangon Darat, Daerah Kecil Paitan, Beluran Sabah.

Program Pertanian Organik merupakan program yang berkonsepkan penghasilan makanan secara organik tanpa melibatkan sebarang campuran bahan kimia dalam menghasilkan makanan yang bersih dan selamat digunakan.

Dr. Ronald dalam ucapan pelancarannya berkata penjagaan ternakan organik perlu dilakukan dengan rapi tanpa melibatkan penggunaan ubat-ubatan. Pencegahan dan kawalan penyakit juga perlu dibuat secara organik sepenuhnya selain memastikan sumber makanan dan persekitaran ternakan bebas daripada bahan kimia.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah diperuntukkan RM50 juta di bawah Dana Jaminan Makanan bagi Program Pertanian Organik yang melibatkan 1,000 komuniti atau kelompok merangkumi projek-projek pertanian, penternakan dan perikanan.

Daripada jumlah berkenaan, agihan telah diberikan kepada beberapa jabatan dan agensi di bawah MAFI bagi melaksanakan program berkenaan. Sebanyak RM13.55 juta telah diperuntukkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bagi tujuan penternakan.

“Setakat ini program berkenaan telah memberi manfaat kepada seramai 863 orang peserta yang melibatkan 253 komuniti. Antara projek yang dijalankan melalui program ini meliputi ternakan ayam kampung, ternakan itik, ternakan puyuh, arnab dan kambing,” kata Dr. Ronald.

Tambah beliau lagi, bantuan melalui Program ini adalah dalam bentuk geran yang antaranya bertujuan untuk membina reban, mendapatkan anak-anak ayam, makanan ayam organik, peralatan dan sebagainya dengan nilai bantuan antara RM30,000 hingga RM50,000 bagi setiap komuniti.

Negeri Sabah telah diperuntukkan lebih RM1 juta bagi melaksanakan Program Pertanian Organik (Ternakan) yang kebanyakannya melibatkan Projek Ternakan Ayam Kampung Organik. Sebanyak 14 komuniti dari 23 kampung yang melibatkan 60 orang peserta dari kawasan Beluran juga telah dipilih bagi melaksanakan program pertanian organik (Ternakan).

Hadir sama ADUN Labuk merangkap Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Samad Jambri, Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid, Ketua Pengarah DVS, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor, Penolong Pegawai Daerah Kecil Paitan, Joloning Joe Majambu, Pengurus Wilayah Pantai Timur (KPD), Herman Soibun, dan Pengawai Penguasa Daerah Lembaga Tabung Getah (Paitan), Julian Ulos.