Persidangan Khas DUN Antaranya Untuk Pinda Perlembagaan Sabah

1877

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal (gambar) berkata persidangan khas Dewan Undangan Negeri pada Khamis ini bertujuan mendengar empat rang undang-undang termasuk cadangan pindaan ke atas Perlembagaan Negeri Sabah.

Beliau bagaimanapun berkata pindaan terhadap perlembagaan negeri itu bukanlah suatu yang luar biasa kerana kerajaan Sabah dijangka melakukan lebih banyak pindaan terhadap undang-undang tubuh negeri tersebut pada tahun-tahun akan datang.

“Ini bagi memastikan ada perubahan selain (undang-undang digubal) bersesuaian dengan keadaan semasa sekali gus meletakkan kerajaan negeri dan negeri Sabah di landasan sepatutnya,” katanya kepada pemberita, di sini hari Selasa.

Ditanya sama ada persidangan khas DUN itu akan menyentuh tempoh jawatan Yang di-Pertuan Negeri Sabah, Mohd Shafie berkata: “Kita akan lihat bila masanya tiba.”