Persatuan Undang-Undang Sabah Sokong Pengenalan PSS

127
ROGER CHIN

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) menyokong langkah berani dan progresif Kementerian Dalam Negeri serta Kerajaan Sabah memperkenalkan Pas Sementara Sabah (PSS) sebagai langkah tepat menangani isu warga asing di negeri ini.

Presidennya, Roger Chin berkata, PSS bukan saja menyelaraskan pelbagai dokumen yang dipegang warga asing ketika ini, malah dapat mengatasi pemalsuan dokumen Kad Pendaftaran Orang Asing Khas (IMM13), Burong-Burong dan Sijil Bancian yang wujud sekarang.

Katanya, ciri-ciri keselamatan di dalam PSS seperti maklumat biometrik, gambar profil dan cap jari juga membolehkan pihak berkuasa mengawal selia setiap imigran yang ada di negeri ini.

“SLS percaya jika kerajaan tahu dan boleh mengenal pasti dokumen palsu yang dipegang oleh golongan imigran ini, maka urusan undang-undang, arahan dan sumber dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

“Dalam hal ini, proses untuk mendapatkan PSS perlu dibincangkan terlebih dahulu oleh semua pihak berkepentingan secara telus dan bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Roger berkata, amat malang apabila sejarah membuktikan ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah mempertaruhkan keselamatan dan kedaulatan negara dengan memberikan dokumen kepada imigran yang tidak layak menerimanya.

Sehubungan itu katanya, langkah perlindungan yang teguh dan konkrit perlu dilaksanakan untuk memastikan tiada perlanggaran terhadap proses mengeluarkan PSS oleh pihak berkuasa.

Tegasnya SLS juga mahu mengingatkan bahawa setiap warga asing tidak boleh diberikan taraf kewarganegaraan kecuali atas menepati undang-undang dan syarat-syarat ketat yang ditetapkan.

“PSS tidak boleh ditafsir sebagai pemberian pemastautin tetap kepada warga asing serta tidak boleh dieksploitasi sebagai batu loncatan mendapat taraf warga negara,” katanya.

Menurut beliau, SLS bagaimanapun berharap cadangan supaya PSS diperbaharui setiap tiga tahun dikurangkan kepada setahun sahaja.

Sementara itu katanya, walaupun Malaysia menyokong hak asasi manusia membabitkan golongan imigran terutama pekerja asing,namun mereka yang melakukan jenayah perlu menerima hukuman setimpal.

“SLS menyokong supaya pekerja asing yang melakukan jenayah di negara ini dihukum sepenuhnya mengikut undang-undang.

“Bagaimanapun dalam beberapa keadaan, kebanyakkan mereka dianggap penjenayah hanya kerana kesalahan tidak memiliki dokumen sah yang membenarkan mereka bekerja dan tinggal di Malaysia.

“Pekerja asing ini sememangnya memainkan peranan penting dalam ekonomi dengan menerima pekerjaan bergaji rendah yang ditolak oleh rakyat tempatan,” katanya.

BERITA BERKAITAN : –

Shafie Yakin Pas Sementara Sabah Bantu Pantau Warga Asing Di Sabah

PSS Langkah Permulaan Bersihkan Daftar Pemilih Di Sabah – Ahli Parlimen Kota Kinabalu

Pas Sementara Sabah, Bukti Kerajaan Serius Tangani PTI Di Negeri Ini – Shafie

PSS Diperkenal Ganti IMM13, Burung-Burung Dan Sijil Bancian